suria

Konstabel Polis Cedera Kemalangan Ketika Balik Kerja

GEORGE TOWN: Seorang konstabel polis nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum melanggar sebuah kenderaan lain di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, malam Isnin.

Kejadian 10 malam itu berlaku ketika Zulfadli Zamzuri, 23, dalam perjalanan balik ke rumah di Farlim, selepas selesai bertugas di Balai Polis Kampung Baru.

Bercakap kepada pemberita di sini Selasa, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayob Yaakob berkata Zulfadli yang berseorangan dipercayai hilang kawalan sebelum keretanya merempuh pembahagi jalan dan melanggar kereta lain.

"Akibat kemalangan itu beliau patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang, sementara dua orang yang berada dalam kereta satu lagi hanya cedera ringan," katanya.

Ayub sebelum itu melepaskan 'Kembara Komuniti Polis Pulau Pinang' yang berkonvoi dengan motosikal kuasa tinggi, diketuai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner (ACP) Zulkifli Alias.

Konvoi empat hari itu disertai lebih 40 anggota dan pegawai polis negeri termasuk dua pegawai wanita.

Bermula dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, konvoi itu akan ke Selangor, Pahang dan Kelantan untuk membuat program dan kempen pencegahan jenayah sebelum bertolak balik pada Sabtu ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain