suria

Dua Maut Kemalangan Di Pahang

KUANTAN: Dua maut dalam kemalangan berasingan di Pahang, Ahad, membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun dan seorang wanita berusia 40 tahun.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Dan Trafik Pahang Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata kejadian pertama mangsa adalah Mohamad Abdullah, 70, selepas kereta yang dinaikinya merempuh sebuah Proton Exora di km 118.9 Jalan Kuantan-Johor Baharu dekat Rompin, Ahad. "Dalam kejadian 2.30 petang itu mangsa yang berasal dari Kelantan dipercayai dalam perjalanan pulang dari Johor Baharu bersama keluarganya.

"Sampai di tempat kejadian kereta yang dinaiki mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar Proton Exora dari arah Kuantan yang membelok ke simpang kanan dekat Leban Condong di Muadzam Shah," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata mangsa maut di tempat kejadian manakala tiga anggota keluarga yang lain dan pemandu Proton Exora terbabit cedera parah dan dihantar ke Klinik Rompin untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, mangsa kedua adalah Junaida Abu Bakar, 40, manakala anak perempuannya yang berusia lima tahun cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di km 21 Jalan Johor Baharu-Pekan dekat Nenasi semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman berkata mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

"Dalam kejadian 5 petang itu mangsa yang memandu Proton Exora dalam perjalanan dari rumah di Tanjung Batu, Pekan ke Kuantan.

"Sampai di tempat kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan dipercayai telah terbabas sedikit ke laluan mangsa," katanya.

Selepas bertembung, kenderaan yang dipandu mangsa terbabas ke dalam longkang.

Katanya sebuah kereta yang datang dari arah Nenasi pula tidak sempat mengelak dan melanggar belakang pacuan empat roda yang berada di atas jalan berkenaan.

Yahaya berkata Junaida maut di tempat kejadian manakala anaknya cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain