suria

Kapal 'Spirit Of Rachel Corrie' Dibenar Berlabuh Di El Arish

KUALA LUMPUR: Kapal bantuan kemanusiaan MV Finch, juga dikenali sebagai 'Spirit of Rachel Corrie', telah dibenarkan berlabuh di Pelabuhan El Arish di Mesir pada jam 7.10 malam (waktu Mesir) pada Selasa.

Presiden Perdana Global Peace Foundation (PGPF) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau diberitahu oleh anggota PGPF yang berada di El Arish untuk menyelia operasi, bahawa mereka telah memunggah paip PVC, seberat 32 tan metrik ke tujuh treler dan akan menghantarnya segera ke Gaza.

Kargo bantuan itu mengambill masa hampir empat jam untuk dipindahkan ke treler dan akan dibawa ke Ouja di sempadan Israel di mana ia akan dipindahkan ke treler lain pula yang ditaja oleh pihak Palestin untuk diangkut ke Gaza melalui Karem Shalom.

"Saya berharap kerajaan baru Mesir akan terus menyokong usaha kita dalam menghulur bantuan kepada rakyat Palestin khususnya di Gaza yang berada dalam kepungan oleh rejim Tel Aviv sejak 2007," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan PGPF di sini Rabu.

Beliau juga melahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Mesir Dr Essam Sharaf, yang beliau temui di Kaherah minggu lepas, kerana menolong mempercepatkan proses.

"Bagi pihak kita, kita akan terus komited untuk menentang dan mencabar kepungan itu yang lebih merupakan tindakan 'genocide' (penghapusan bangsa) oleh rejim Israeli terhadap seluruh penduduk Palestin di Gaza," kata beliau.

Kapal tersebut memasuki perairan wilayah Palestin dan berada kira-kira 400 meter saja dari daratan bila ia diserang dengan tembakan oleh tentera laut Israel pada 16 Mei dan selepas itu kapal berkenaan dipaksa berpatah balik ke perairan Mesir.

Kemudian pada hari sama, ia berlabuh di luar pantai El Arish dan menunggu selama tujuh minggu lalu untuk mendapatkan kebenaran berlabuh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain