suria

Isu Tuntutan Bersih Merupakan Isu Lama

KUALA LUMPUR: Isu yang dibawa oleh pertubuhan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) merupakan isu lama yang tidak harus dibangkitkan memandangkan ia telahpun dijawab dalam persidangan Dewan dan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata SPR sebagai badan yang bertanggungjawab telah melaksanakan tugas dengan baik dan diterima oleh semua pihak dalam mengendalikan setiap pilihan raya.

"Bukti yang paling jelas adalah kemenangan pihak pembangkang menguasai lima negeri pada pilihan raya umum 2008, jadi isu yang dituntut Bersih ini boleh dikatakan isu lama yang disoal dan telah dijawab di Dewan oleh Yang Berhormat (YB) dan ini menunjukkan sistem demokratik yang juga sistem Raja Berperlembagaan.

"Bersih yang telah menghantar memorandum berhubung 17 tuntutan bagi mendesak SPR melaksanakan perubahan sistem dan proses perjalanan pilihan raya pada Oktober tahun lepas telah menerima jawapan bertulis daripada SPR pada November (tahun lepas) dan telah bertemu dengan SPR," katanya pada persidangan Dewan Negara di sini, Khamis.

Liew berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Mohamad Ezam Mohd Nor yang meminta penjelasan kerajaan berhubung isu yang dituntut oleh 'pertubuhan baru dan haram' itu yang merancang untuk mengadakan perhimpunan Sabtu ini dan beralih ke stadium setelah tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abdidin.

Lapan tuntutan itu adalah supaya SPR membersihkan senarai undi, mereformasi undi pos, menggunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.

Berhubung isu pengundi hantu dan perkara berbangkit lain, beliau berkata SPR telah kerap kali memberi penjelasan melalui media cetak serta elektronik dan mengadakan perjumpaan bersama pelbagai pihak termasuk wakil-wakil politik.

Liew berkata mana-mana pihak termasuk Bersih seharusnya menggunakan saluran yang tepat iaitu di Parlimen dalam mengutarakan perkara yang berbangkit, bukannya berhimpun di jalanan mahupun stadium.

Sehubungan itu, beliau berkata anggota Senator yang dipilih dari negeri di bawah pakatan pembangkang juga boleh memainkan peranan sebagai suara rakyat, bukan meneruskan demonstrasi jalanan yang dianggap tidak wajar.

Mengenai dana asing yang diterima oleh pengerusi penganjur perhimpunan haram itu, Datuk S.Ambiga, Liew berkata polis mempunyai kaedah yang tersendiri dalam menjalankan siasatan berhubung perkara itu, sekiranya menerima laporan.

Menurutnya, undang-undang pilihan raya yang sedia ada seperti Perlembagaan Persekutuan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 sudah mencukupi untuk memastikan pilihan raya yang telus, adil dan bersih daripada penyelewengan dan rasuah.

"Setiap dana yang diperolehi dan akaun yang diuruskan oleh setiap parti politik yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966, diaudit sendiri oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain