suria

Muhyiddin Selaku Tetamu Kehormat Rumah Terbuka Hari Gawai Peringkat Kebangsaan

PAKAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi "Tuai Pengabang" atau tetamu kehormat pada Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak peringkat kebangsaan 11 Julai ini.

Sambutan akan diadakan di rumah panjang Rh.Wilson Begat anak Bakir di Penom, Ulu Paku di Bahagian Betong.

"Beliau akan diberikan sambutan tradisi dayak setibanya di rumah panjang berusia lebih 85 tahun itu.

"Kita juga menjangkakan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan yang lain-lain akan turut hadir," kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang kepada pemberita di sini Ahad.

Beliau melawat mangsa kebakaran rumah panjang di Rantau Betebang, Wak yang kejadiannya berlaku baru-baru ini.

Lebih 20 keluarga hilang tempat tinggal dalam kebakaran 19 Jun itu.

Salang dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu merupakan pengerusi penganjur bersama sambutan hari terbuka itu yang buat pertama kali diadakan di rumah panjang tradisi.

Salang berkata lebih 3,000 orang tetamu dijangka hadir yang akan dijamu dengan makanan tradisi masyarakat dayak.

Antara aktiviti yang akan diadakan ialah persembahan oleh artis dari masyarakat Iban, Bidayuh dan Orang Ulu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain