suria

Ditahan Kerana Cuba Seludup Anak Pokok Getah

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah menahan seorang lelaki yang cuba menyeludup anak-anak pokok getah bernilai kira-kira RM120,000 di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam di sini, Jumaat.

Komander UPP Kedah, Mohd Jasri Othman berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, pemandu treler berusia 47 tahun itu ditahan selepas gagal menunjukkan borang isytihar kastam untuk membawa anak pokok getah tersebut ke Thailand.

Sehubungan itu katanya, lelaki berkenaan yang merupakan warga tempatan telah melanggar peraturan Lembaga Getah Malaysia (Perlesenan) Peraturan 36 (1).

"Pada awalnya, ketika ditanya pemandu treler ini memberitahu bahawa dia hanya membawa tempurung kelapa untuk dijual di Thailand, namun setelah diperiksa didapati dia membawa muatan anak pokok getah yang diisi dalam pollybag dipercayai untuk diseludup," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Menurut Mohd Jasri, anak benih pokok getah tempatan mendapat permintaan yang tinggi di Thailand kerana bermutu tinggi dan dijual dengan harga RM8 sepokok di sana berbanding hanya RM3 di negara ini.

Katanya, kes berkenaan dirujuk kepada Jabatan Kastam dan Lembaga Getah Malaysia untuk tindakan selanjutnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain