suria

Najib Umum Peruntukan RM5 Juta Bagi Projek Di Kemabong

TENOM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan peruntukan serta-merta sebanyak RM2.8 juta untuk menaik taraf jalan raya di kawasan daerah kecil Kemabong, dekat sini.

Selain itu, beliau turut meluluskan peruntukan RM3 juta untuk pembinaan rumah panjang suku kaum Murut di daerah Tenom untuk tujuan mempromosi kraftangan dan mengekalkan tradisi suku kaum tersebut.

Berucap dalam program Juara Rakyat-1Malaysia Kemabong, Tenom 2011 di sini, beliau berkata peruntukan itu akan disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berikutan permohonan yang dikemukakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kemabong Datuk Rubin Balang.

"Permohonan-permohonan lain yang telah dikemukakan Datuk Rubin tadi, saya akan semak terlebih dahulu," katanya di tapak program tersebut di Padang Pekan Kemabong.

Terdahulu, Rubin yang juga pengerusi penganjur program Juara Rakyat-1Malaysia Kemabong, berterima kasih kepada kerajaan kerana usaha pembangunan yang dilakukan di kawasan itu, termasuk pemberian geran komunal kepada rakyat luar bandar.

Beliau turut mengetengahkan beberapa masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh penduduk di daerah kecil itu dan daerah Tenom secara amnya.

Rubin berkata jalan raya di Kemabong perlu dinaik taraf dan diturap secara berperingkat memandangkan pada masa ini hanya 30 peratus sahaja yang diturap.

"Rakyat sudah lama menanti. Kami juga merayu kerajaan persekutuan luluskan permohonan lebuh raya (menghubungkan) daerah Tenom dan daerah Beaufort, atas sebab kedudukan jalan raya yang strategik," katanya.

Beliau berkata permohonan lain termasuk pewujudan kampus cawangan mana-mana universiti, kolej mahupun institut untuk daerah Tenom sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan dan merangsang semangat pelajar-pelajar luar bandar di situ.

"Selain itu, pemimpin-pemimpin keagamaan di sini juga meminta Perdana Menteri menyalurkan dana seberapa yang boleh bagi tujuan pembangunan semua agama di daerah Tenom ini," katanya.

Daerah kecil Kemabong terletak di kawasan pedalaman daerah Tenom, kira-kira 208 kilometer atau tiga setengah jam perjalanan dari Kota Kinabalu.

Mengikut Banci Penduduk 2010, daerah kecil ini didiami kira-kira 35,000 orang dengan 70 peratus daripadanya terdiri daripada kaum Murut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain