suria

Ibu Tunggal Aniaya Anak Didenda RM34,000

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal didenda RM34,000 atau penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan melakukan penganiayaan terhadap anak lelakinya yang berusia lapan tahun.

Lai Suk Phing, 38, mengaku melakukan perbuatan tersebut terhadap Tham Ming Tong dengan cara merotan di kedua-dua paha sebanyak enam kali serta meletakan kedua-dua tangan kanak-kanak tersebut di atas api dapur. Tertuduh yang merupakan seorang jurujual didakwa melakukan kedua-dua kesalahan terbabit di sebuah bilik di nombor 18 A, Jalan Gelang melalui Jalan Sungai Besi di sini, pada pukul 10.30 malam, 27 November tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, tertuduh juga mengaku bersalah atas terhadap tuduhan mengikut Seksyen 33 akta sama kerana didakwa membiarkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan antara pukul 10 pagi dan 10 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menetapkan jumlah denda RM15,000 untuk setiap pertuduhan pertama dan kedua, manakala RM4,000 bagi kesalahan membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan.

Jika tertuduh gagal untuk menjelaskan denda tersebut, Zaki Asyraf memerintahkan supaya tertuduh dipenjara setahun bagi setiap pertuduhan.

Lai didakwa di mahkamah pada sebelah pagi, di mana dia mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, setelah mahkamah bersidang di waktu petang, dia memaklumkan hasratnya untuk mengaku bersalah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias manakala wanita itu diwakili peguam bela Wan Azmir Wan Majid

Artikel Berikut

Artikel Lain