suria

Dua Lagi Mayat Mangsa Bot Karam Di Pengerang Ditemui - APMM

JOHOR BAHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menemui dua lagi mayat dipercayai mangsa bot karam yang membawa pendatang tanpa izin di perairan Pengerang, dekat Kota Tinggi pada Rabu lepas.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata satu daripada mayat itu ditemui di selatan Tanjung Kapal, Pengerang pada 7.30 petang semalam, manakala satu lagi ditemui terdampar di pantai Sungai Musuh oleh penduduk kampung pada pukul lapan pagi ini.

"Mayat semalam itu ditemui bot APMM, Petir 11 setelah mendapat maklumat dari sebuah bot tunda. Dianggarkan mangsa berumur 30-an dan mayatnya hampir reput," katanya dalam satu kenyataan, di sini Ahad.

Zulkifli berkata kedua-dua mayat itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata walaupun operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam itu telah ditamatkan, sebuah bot APMM sentiasa ditugaskan melakukan rondaan bagi mengesan mereka yang masih hilang.

Dalam kejadian pukul 4.30 pagi pada Rabu lepas itu, 17 pendatang asing tanpa izin selamat manakala tujuh lagi hilang apabila bot pancung kayu yang mereka naiki karam dipukul ombak di selatan Tanjung Ayam, Pengerang.

Setakat ini tiga mayat daripada tujuh mangsa yang hilang itu sudah ditemui manakala nasib empat yang lain belum diketahui. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain