suria

Pemilihan PAS: Senarai Calon Diumum Petang Ini

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemilihan PAS akan mengumumkan calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan bulan depan petang Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman akan mengadakan sidang media mengenai perkara itu pada pukul 4 petang ini di Pejabat Agung PAS dekat sini.

Sebelum ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diisytiharkan kekal sebagai Presiden PAS untuk sesi 2011/2013 selepas tiada nama lain yang dicalonkan.

Perhatian tertumpu kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden yang bakal pertembungan tiga penjuru antara penyandang, Nasharudin Mat Isa dengan Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa Pusat, Mohamad Sabu.

Tiga pemimpin yang turut dicalonkan iaitu Naib Presiden, Salahuddin Ayub; Ahli Jawatankuasa, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Datuk Husam Musa mengesahkan tidak akan bertanding.

Turut menjadi rebutan adalah jawatan naib presiden PAS. Mereka yang telah mengesahkan bertanding ialah penyandang, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar; Ketua Penerangan, Idris Ahmad; Ahli Jawatankuasa Pusat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, Husam dan Datuk Mohd Amar Abdullah.

Senarai muktamad calon-calon yang telah mengesahkan bertanding pada muktamar tahunan PAS ke-57 dan dewan-dewan bagi sesi 2011/2013 yang ditutup Khamis akan diumumkan petang ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain