suria

Perkeso Bayar Tuntutan RM520, 615 Untuk Pencarum Perlis Sejak Januari

KANGAR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membayar tuntutan berjumlah RM520,615.91 kepada lebih 200 penerima faedah di Perlis bagi tempoh antara Januari dan April lepas.

Pengarah Perkeso Perlis, Shaharuddin Waled berkata kebanyakan tuntutan membabitkan kes hilang upaya sementara (cuti sakit) membabitkan 185 kes dengan nilai tuntutan yang dibayar sebanyak RM149,427.56.

Perkeso juga membayar tunttuan sebanyak RM304,787.96 bagi 20 kes hilang upaya kekal (kecederaan), empat kes faedah orang tanggungan (kematian) sebanyak RM8,050.27, 11 kes faedah pencen ilat (hilang upaya) sebanyak RM15,865.25, 14 kes faedah pencen penakat (kematian) sebanyak RM12,484.87 dan 20 kes faedah pengurusan mayat sebanyak RM30,000.

"Perkeso telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mempercepatkan proses tuntutan yang diterima namun kelambatan memprosesnya berpunca daripada permohonan tuntutan tidak lengkap," katanya pada majlis penyampaian faedah Perkeso berjumlah RM87,745.48 kepada 20 penerima di sini Khamis.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis, Dr Por Cho Chor.

Shaharudin berkata sebanyak 129 tuntutan dilakukan oleh para pencarum membabitkan kemalangan di tempat kerja, kemalangan jalan raya semasa pergi dan balik daripada tempat kerja dan kemalangan jalan raya semasa keluar makan tengahari.- BERNAMA

Artikel Lain