suria

Fokus Berita: Enakmen Kebebasan Maklumat Tidak Sebebas Namanya

KUALA LUMPUR: Pada awal April, kerajaan Selangor meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat yang bertujuan memudahkan orang ramai mendapat akses kepada maklumat setiap jabatan dan kerajaan negeri.

Kerajaan negeri gabungan Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP yang menganggap langkah itu sebagai satu peristiwa bersejarah, mendabik dada menjadi negeri pertama di Malaysia meluluskan undang-undang itu.

Anggota Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong, yang membentangkan enakmen itu telah berkata: "Belum ada negeri yang berani melaksanakan Enakmen Kebebasan Maklumat. Inilah hasil daripada kuasa rakyat.”

Namun adakah kebebasan maklumat yang dimaksudkan itu benar-benar memudahkan orang ramai mendapat akses kepada sebarang maklumat yang dikehendaki?

Bagi Umno, yang merupakan parti pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor, enakmen itu hanya untuk kepentingan kerajaan negeri semata-mata dan kebebasan yang disebut hanyalah penyedap halwa telinga.

Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus berkata enakmen itu hanya untuk kepentingan kerajaan Selangor berdasarkan sudut pandangan mereka sahaja dan bukannya kebebasan maklumat dalam erti kata sebenar secara keseluruhannya.

"Apa yang bebasnya apabila dalam enakmen itu sendiri terdapat pelbagai kekangan, malah ada yang lebih menyulitkan lagi rakyat untuk memperoleh maklumat kerajaan negeri.

"Enakmen itu juga memperuntukkan denda sehingga RM50,000 dan/atau penjara sehingga lima tahun bagi kesalahan menggunakan maklumat yang diperoleh di bawah Enakmen ini jika bertentangan dengan alasan dan tujuan permohonan dibuat," kata Abdul Shukor.

Beliau mempersoalkan erti kebebasan bagi kerajaan negeri, dengan memberi contoh liputan oleh TV Selangor yang menurutnya hanya menyiarkan perbahasan dalam DUN melibatkan wakil rakyat mereka sahaja sedangkan ketika wakil rakyat Umno berbahas atau bertanya soalan, siarannya dihalang.

Beberapa pemerhati politik berpendapat tujuan enakmen itu sebenarnya boleh dicurigai kerana ia lebih berupa sekatan maklumat dan penetapan had penggunaan maklumat, yang jika dikaji mendalam, jelas menunjukkan ketelusan maklumat dihalang melalui pelbagai peruntukan.

Ada pemerhati berpendapat kerajaan negeri hanya mahu memastikan maklumat pentadbiran mereka baik di peringkat jabatan mahupun negeri tidak bocor dan kelemahan mereka tidak tersebar sehingga menimbulkan keraguan rakyat.

"Dengan ancaman denda dan penjara yang diperuntukkan, sukarlah bagi parti lawan untuk mendedahkan maklumat mengenainya kepada rakyat walaupun pendedahan itu dibuat untuk tujuan mendidik rakyat dan memperbetulkan kelemahan kerajaan negeri," kata seorang pemerhati.

Seorang lagi pemerhati berkata kalau semasa memohon maklumat itu, Umnolah yang memohonnya, dan tujuan penggunaannya dinyatakan untuk didedahkan kepada rakyat, sudah tentunya permohonan itu tidak diluluskan.

Beliau memberi contoh maklumat mengenai sebuah yayasan membuat bayaran puluhan ribu ringgit untuk penyelenggaraan sebuah kereta, yang mana lebih mahal daripada harga kereta itu sendiri, tentulah tidak sampai ke pengetahuan rakyat dengan adanya enakmen itu.

Pemerhati politik, Hamidzun Khairuddin pula berkata, yang pertama perlu ditanya ialah sama ada kerajaan negeri boleh membuat enakmen itu dan sama ada ia melanggar kuasa Persekutuan dan apakah ia akan menjadi serupa dengan enakmen berkaitan hukum hudud di Kelantan yang tidak boleh dilaksanakan.

Dengan kewujudan ratusan blog yang bebas menyiarkan tulisan dan ulasan mengenai apa juga isu, baik yang sensitif ataupun tidak, mungkin kerajaan negeri Selangor mengambil langkah awal melalui enakmen itu untuk memastikan tidak ada maklumat buruk mengenainya didedahkan dalam blog.

Media baru seperti blog, Twitter dan Facebook mahupun SMS terbukti besar pengaruhnya terhadap rakyat sehinggakan banyak yang menerima bulat-bulat dan mempercayai maklumat yang dibaca walaupun tidak ada pengesahan daripada sumber yang benar dan jelas.

Media baru ini merupakan antara senjata yang membantu kemenangan besar parti-parti dalam gabungan yang digelar Pakatan Rakyat itu, dan kerajaan negeri Selangor sebagai pihak yang mendapat manfaat besar daripadanya, mungkin takut senjata makan tuan pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, kata pemerhati.

Mungkin pelbagai pendapat ini keliru, kata pemerhati itu, yang mencadangkan kerajaan negeri Selangor membuat penjelasan meluas dan memberikan contoh-contoh jelas mengenai ketelusan mereka dalam memberikan kebebasan akses kepada maklumat negeri dan jabatan-jabatannya selepas sudah tiga tahun memerintah Selangor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain