suria

Berhati-Hati Dengan Taktik Penipuan Siber - Polis

KUANTAN: Polis mengingatkan orang ramai terutama wanita supaya berhati-hati dengan taktik penipuan seperti cabutan bertuah dan deposit pinjaman menerusi telefon bimbit, e-mel dan laman sosial.

Penolong Pengarah Pentadbiran Kerjasama Antarabangsa Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Supt Zaini Jass berkata kes sedemikian kebiasaannya agak sukar dikesan pihak polis.

"Masyarakat yang perlu sedar dan berwaspada dengan sindiket seumpama ini. Kita berusaha mendidik orang ramai daripada ditipu melalui kaedah maya ini.

"Walaupun pelbagai peringatan dan nasihat diberikan, masih ramai yang terpedaya dengan sindiket penipuan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan tugas Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang yang disandangnya sebelum ini kepada DSP Koh Ah Tiam yang sebelum ini adalah timbalannya.

Zaini berkata kebanyakan mangsa sindiket penipuan terdiri daripada golongan wanita berusia 40-an yang belum rumahtangga termasuk janda.

"Masyarakat perlu membuka mata dan sedar dengan wujudnya jenayah ini. Orang ramai harus beringat dan diminta sentiasa berwaspada," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain