suria

Raja Perlis Mahu Graduan Semarakkan Kegiatan Sukarela

KANGAR: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu para graduan menyemarakkan kegiatan sukarela yang dapat menghindari mereka daripada terperangkap dalam gejala sosial.

Baginda juga berharap mereka dapat membina ketahanan diri untuk menangkis ancaman budaya yang mampu meruntuh ketamadunan bangsa dan negara.

"Marilah kita sama-sama meningkatkan kualiti akhlak seterusnya menjauhi diri daripada terjerumus ke kancah sosial yang mampu meranapkan harapan bangsa dan negara," titah baginda pada majlis konvokesyen ke-5 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Ulu Pauh dekat sini Isnin.

Raja Perlis bertitah, institusi pengajian tinggi perlu menjadi wadah untuk melahirkan modal insan berkualiti, bukan sahaja berhemah tinggi malah mempunyai kesedaran dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Turut hadir di majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Sebanyak 1,503 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing pada majlis itu.- BERNAMA

Artikel Lain