suria

Terengganu Galak Buka Taska Di Tempat Kerja

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM14 juta setahun bagi menguruskan Taska Permata yang diwujudkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata sebanyak 32 buah Taska Permata yang diwujudkan di negeri itu adalah sumbangan kerajaan persekutuan.

"Setiap DUN di Terengganu masing-masing mempunyai sebuah Taska Permata yang disumbangkan kerajaan persekutuan," katanya selepas merasmikan Taska Permata Keluarga Kampung Teluk Ketapang yang disumbangkan oleh Syarikat Golden Pharos Berhad (GPB) serta penyampaian bantuan pakaian sekolah bagi DUN Seberang Takir di sini Ahad.

Ahmad berkata kerajaan mengharapkan agar lebih banyak Taska ditubuhkan terutama di tempat-tempat kerja yang dikendalikan oleh jabatan atau agensi masing-masing.

Kerajaan melalui Yayasan Keluarga Terengganu sedia membantu dengan melatih guru-guru dari segi kepakaran dan perlaksanaan kurikulum yang lebih berkesan, katanya.

Sementara itu Pengerusi GPB Datuk Zubir Embong ketika ditemui pada majlis itu berkata projek Taska Permata sumbangan GPB adalah sebagai menunaikan tanggungjawab sosial syarikatnya.

Katanya GPB menyokong penuh inisiatif pendidikan pra-sekolah yang dijalankan dengan kerjasama YPK, secara tidak langsung memberi peluang kepada ibu bapa yang bekerja menempatkan anak mereka di situ.

Taska Permata Teluk Ketapang yang dibina pada Januari 2009 dengan kos RM500,000 mula dibuka pada 1 Mac tahun berkenaan dengan pengambilan 60 kanak-kanak berumur seawal empat bulan hingga empat tahun dengan 12 orang tenaga pengajar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaman SNAP Sudah Berakhir

Artikel Lain