suria

Pembunuhan Osama Adalah Tindakan balas Dendam AS - Tun M

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pembunuhan Osama bin Laden sebagai tindakan membalas dendam oleh Amerika Syarikat berikutan serangan pada 11 September, 2001 dan bukanlah memerangi keganasan dalam erti kata sebenar.

Bekas Perdana Menteri berkata walaupun Osama dibunuh tetapi hasilnya mungkin menyebabkan lebih ramai orang marah dan lebih banyak tindakan keganasan akan dilakukan.

"Kalaupun masa (sekarang) reda sedikit kerana mereka tidak ada pemimpin tetapi akhirnya yang marah akan bertindak juga. Ini bukan satu cara mengurangkan keganasan," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu ketika diminta mengulas sama ada pemimpin utama Al Qaeda itu harus dibunuh atau sewajarnya dibawa ke muka pengadilan.

Osama terbunuh dalam satu operasi oleh pasukan keselamatan Amerika Syarikat di Abottabad, Pakistan pada 1 Mei lalu.

"Dia (Osama) memanglah orang yang salah tetapi menghantar satu pasukan untuk membunuh orang itu bukan cara untuk kuatkuasakan undang-undang. Kalau boleh tangkap, tangkaplah," katanya.

Dr Mahathir berkata tindakan Amerika Syarikat itu juga seperti manusia yang tidak bertamadun berikutan membunuh orang yang tidak bersenjata dan mayatnya “dikebumikan” di laut.

“Tidak semacam manusia bertamadun. Orang yang tidak bertamadun,” kata Presiden Yayasan Kepimpinan Perdana itu selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Esei Yayasan Kepimpinan Perdana-MPH 2010 bertajuk "Nurturing The Minds of Future Leaders".

Ketika berucap, Dr Mahathir berkata peranan pengikut adalah penting dalam memilih pemimpin yang baik di mana "kesetiaan membabi buta” akan mengakibatkan pengikut akan salah memilih pemimpin.

"Pengikut harus bijak, berilmu pengetahuan dalam membezakan pemimpin yang baik. Memilih pemimpin yang salah akan membawa kehancuran buat sesebuah negara. Anda terpaksa membayar harga yang tinggi jika tersalah pilih,” katanya.

Hadiah utama pertandingan penulisan esei itu dimenangi oleh Eric Lee dari HELP University College yang menerima wang tunai RM7,000, baucar buku MPH RM500, komputer riba dan e-reader. - BERNAMA

Artikel Lain