suria

Kerajaan Sasar Terbit 26,000 Judul Buku Setahun - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan bekerjasama dengan semua pemain industri buku untuk mencapai sasaran penerbitan sekurang-kurangnya 26,000 judul buku setahun.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hasil pengeluaran penulisan perlu digembleng memandangkan pada masa kini hanya terdapat kira-kira 16,000 judul buku diterbitkan dalam setahun.

"Yang penting adalah untuk mendapatkan seberapa ramai mungkin penulis dan sudah tentu penerbit juga kerana dengan cara itu hasil karya yang dikeluarkan mendapat sokongan dan bermutu" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 ke-30 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata agensi-agensi kerajaan yang terlibat akan terus mengeratkan lagi kerjasama dengan sektor swasta di bawah industri buku untuk sama-sama membuat 'pemetaan' penerbitan buku bagi mencapai sasaran tersebut.

Beliau berkata minat membaca di kalangan rakyat Malaysia yang sudah meningkat akan menghasilkan permintaan yang tinggi dalam industri buku yang akan memberikan kesan positif dalam pasaran industri buku domestik.

"Ada peningkatan minat membaca iaitu dua buku setahun, beberapa tahun lepas rakyat Malaysia hanya membaca beberapa muka surat buku sahaja, itu satu indikasi bahawa kita perlu tingkatkan usaha supaya budaya membaca menjadi sebahagian daripada hidup kita, bukan membaca sahaja tetapi membaca untuk dapatkan ilmu," katanya.

Ditanya mengenai kemajuan teknologi internet yang boleh menjejaskan usaha meningkatkan budaya membaca di kalangan rakyat, Muhyiddin berkata ia tidak boleh dielakkan daripada berlaku.

Terdahulu ketika berucap, Muhyiddin menyeru ibu bapa supaya menjadi teladan kepada anak-anak untuk memupuk budaya membaca di peringkat keluarga masing-masing dengan memperuntukkan perbelanjaan bulanan untuk pembelian bahan bacaan yang bersesuaian.

"Ini bukan sahaja dapat memupuk, mengembang dan memperkukuh minat membaca dalam kalangan anak-anak malah akan dapat menyumbang kepada pembinaan tamadun bangsa yang berjaya," katanya.

Beliau turut menyarankan agar Anugerah Buku Kebangsaan yang dipimpin Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan kerjasama persatuan-persatuan di bawah industri buku, diangkat statusnya sebagai anugerah tertinggi dengan ditukar namanya sebagai Anugerah Buku Perdana.

"Anugerah itu akan mengandungi di antaranya Anugerah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, serta anugerah lain yang bersesuaian dengan keperluan semasa di bawah industri buku negara," katanya.

Selain itu, katanya MBKM dan persatuan industri buku dengan kerjasama pihak yang berkepentingan juga perlu mengkaji keperluan untuk menganjurkan anugerah buku dan sastera kanak-kanak.

"Ia sebagai langkah strategi untuk menggalakkan penerbitan buku dan sastera kanak-kanak yang berdaya maju dan berkualiti," katanya.

PBAKL 2011 bertemakan "Buku: Dunia Tanpa Sempadan" diadakan selama 10 hari iaitu dari 22 April hingga 1 Mei anjuran MBKM bersama Majlis Industri Buku Malaysia yang menempatkan sebanyak 734 gerai pameran.

Seramai 1.5 juta orang pengunjung disasarkan tahun ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain