suria

Padah Memandu Secara Berbahaya, Lelaki Dihukum Penjara 3 Tahun, Denda RM15,000

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan seorang pekerja syarikat pembuatan rumah dihukum penjara tiga tahun bermula Rabu, selepas didapati bersalah memandu dalam keadaan berbahaya sehingga mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal, lapan tahun lalu.

Majistret Parvin Hameedah Natchiar juga memerintahkan supaya Tan Hai Chun, 25, membayar denda RM15,000 atau jika gagal, dipenjara selama 10 bulan manakala lesen memandunya digantung selama empat tahun.

Perbicaraan sebelum ini melibatkan 11 saksi pendakwaan dan Tan memberikan keterangan bersumpah semasa membela diri.

Tan didapati bersalah memandu secara berbahaya kereta Proton Wira WHU 2599 sehingga menyebabkan kematian Haizeel Izman Masrur, 25, pada pukul 11.30 malam, 28 Oktober 2003 di Jalan Loke Yew, di sini.

Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Abdullah Said mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Keterangan pada perbicaraan menyatakan Tan telah melanggar belakang sebuah kereta Honda Accord yang menyebabkan kereta terbabit berpusing dan memasuki arah bertentangan yang sedang dilalui oleh mangsa.

Selain motosikal yang ditunggang mangsa, kereta Honda terbabit turut melanggar sebuah lagi motosikal.

Pada pembelaannya, Tan mengakui memandu dengan laju dan kemalangan berlaku apabila dia cuba mengelak kereta Honda tersebut yang dikatakan berhenti secara tiba-tiba.

Tan juga memberitahu, semasa kejadian dia tidak mempunyai pengalaman memandu ekoran baru mendapat lesen memandu.

Artikel Lain