suria

PRN Sarawak: Calon BN Yakin Peratusan Keluar Mengundi Meningkat Lagi

KUCHING: Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yakin jumlah pengundi yang keluar mengundi akan meningkat kepada 50 peratus menjelang petang Sabtu.

Beliau berkata, faktor cuaca yang baik mempengaruhi jumlah kehadiran pengundi yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Pada awal pagi tadi, cuaca nampak mendung tapi syukur alhamdulillah, Allah mempermudahkan segala urusan membuang undi di sini," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan Encik Buyong di Samariang, Sabtu.

Penyandang DUN Samariang itu turut bersalaman dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulrusdi Mohamad Hol ketika bertemu di sekolah itu.

Kedua-dua calon itu bersaing untuk merebut kerusi DUN Samariang tetapi sikap profesional tetap diamalkan walaupun daripada berlainan parti.

Sementara itu, menerusi tinjauan mStar Online di beberapa pusat pembuangan undi sehingga pukul 12.30 tengah hari, keadaan agak tenang dan proses pengundian berjalan dengan lancar.

Pusat pengundian mula dibanjiri pengundi seawal pukul 8 pagi dan akan ditutup pada 5 petang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain