suria

Papan Iklan BN Di Bukit Assek Dirosakkan

SIBU: Chieng Buong Toon, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Assek, berang selepas papan iklan kempen dan pusat khidmat beliau di sini disimbah dengan cat merah pagi, Rabu.

Chieng, yang dicalonkan oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) turut geram kerana risalah saiz A4 yang ditulis dalam bahasa Cina yang bermaksud: "Wong Ho Leng akan menang. Chieng Buong Toon akan pergi ke neraka" sedang diedarkan.

SUPP meletakkan harapan pada Chieng, anggota kanan parti, untuk merampas semula kerusi Bukit Assek daripada Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng, dalam pertandingan tiga penjuru.

Seorang lagi calon di kerusi majoriti Cina itu ialah Hii Tiong Huat yang bertanding atas tiket Bebas.

Chieng menganggap risalah itu sebagai satu ancaman bunuh dan ejen pilihan raya beliau telah membuat laporan di Balai Polis Central Sibu pada 10 pagi, Rabu.

Bercakap kepada pemberita di pusat khidmatnya di Jalan Hua Khiew di sini hari ini, Chieng berkata beliau menerima panggilan daripada penyokongnya mengenai papan iklan yang dirosakkan itu pada kira-kira 6 pagi ini.

"Ini merupakan kali pertama saya berdepan kejadian seumpama ini sejak membuka pusat khidmat ini dua tahun lepas. Saya tidak akan tunduk dan sebaliknya kejadian itu menaikkan lagi semangat saya untuk berkempen lebih giat lagi," katanya.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail semasa dihubungi berkata laporan itu adalah yang pertama berkaitan pilihan raya negeri diterima polis daerah ini. -BERNAMA

Artikel Lain