suria

Lebih Banyak Pelaburan Dapatkan Kurangkan Rasuah

KUALA LUMPUR: Pemimpin masyarakat dan pengkritik sosial Tan Sri Ramon Navaratnam berkata inisiatif berani yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI), yang akhirnya memberi kesan positif ke atas pelaburan masuk ke negara ini.

"Semua pelabur berpotensi melihat CPI dan tidak ada sebab mengapa mereka mahu melabur wang ke negara yang lebih teruk tahap rasuahnya berbanding negara lain. "Dengan CPI Malaysia dijangka semakin baik menerusi inisiatif SPRM itu, negara ini boleh menjangkakan lebih banyak pelaburan memandangkan tadbir urus merupakan penentu awal yang penting sebelum pelabur memutuskan untuk melabur di sesebuah negara," kata Navaratnam yang juga Penasihat Korporat Sunway Group.

Satu pasukan khas yang diketuai SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan disokong oleh lima agensi lain, serentak menyerbu 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat pemegangan dan 24 daripada syarikat yang berkaitan serta 25 pejabat kastam di seluruh negara, baru-baru ini.

SPRM setakat ini menahan 62 pegawai kastam pelbagai pangkat dan jawatan menerusi "Operasi 3B" kerana didakwa terlibat dalam rasuah, pelaburan wang haram dan kesalahan-kesalahan lain.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali berkata siasatan yang dijalankan sejak Isnin lepas, dengan kerjasama lima agensi lain itu, mendapati lebih daripada RM10 bilion diseludup keluar dari negara ini.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Maybank Investment Bank Suhaimi Ilias berkata inisiatif yang dijalankan oleh SPRM itu dijangka memperkukuhkan keyakinan dan meningkatkan tanggapan, boleh mendorong kepada peningkatan masuk pelaburan memandangkan ia memberi isyarat bahawa kos untuk menjalankan perniagaan di Malaysia adalah rendah.

"Kita boleh mengurangkan paras lebihan bayaran dan ia sangat baik untuk sentimen perniagaan dalam negara ini," katanya. Navaratnam bersetuju bahawa SPRM boleh menurunkan kadar inflasi memandangkan rasuah menambah kos dan meningkatkan tekanan inflasi.

"Menerusi tindakan SPRM itu, pengguna boleh menikmati produk berkualiti tinggi pada harga setanding kos sebenar dan bukan kos tambahan akibat rasuah," kata Navaratnam. Navaratnam yang sebelum ini pengerusi panel penceghan rasuah SPRM, berkata SPRM wajar diberikan pujian tinggi atas kejayaan serbuan itu memandangkan pasukan petugas itu telah menunjukkan tahap profesionalisma yang tinggi semasa menjalankan tindakan bersepadu dan berhati-hati ini bersama agensi yang lain.

"Formula kejayaan" yang digunakan oleh SPRM dalam pencegahan rasuah dan kesalahan yang berkaitan bersama-sama agensi lain perlu diperluskan dalam kes besar yang lain, malah di peringkat rentas sempadan.

"Formula yang terbukti berjaya itu dan menghasilkan keputusan yang baik, kini wajar dipeluaskan untuk kes-kes lebih besar, termasuk di luar sempadan negara.

"Jika momentum ini berterusan, imej MACC akan dipertingkatkan," kata Navaratnam.

Beliau berkata SPRM kini sudah keluar daripada reputasi buruknya pada masa lepas.

"Berdasarkan kes berprofil tinggi yang melibatkan berbilion ringit, orang ramai kini lebih menghargai kejayaan SPRM dan kemajuannya.

"Sejak penubuhkan SPRM beberapa tahun lepas, ia kini sudah meningkatkan kekuatan dan pengaruhnya.

"Ia kini dalam proses matang dengan membanteras kes besar dan adalah diharapkan ia akan dapat menangani kes-kes yang lebih besar, malah yang membabitkan individu berpengaruh," kata Navaratnam. -BERNAMA

Artikel Lain