suria

NKRA Sasar Pengurangan 70 Peratus Dalam Kes Rasuah

SHAH ALAM: Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mensasarkan pengurangan sebanyak 70 peratus dalam perbicaraan kes-kes rasuah di mahkamah.

Pengarahnya, Datuk Hisham Nordin berkata, beliau positif sasaran itu boleh dicapai berdasarkan peratusan tahun lalu yang mencatatkan pengurangan sebanyak 38 peratus meskipun sasaran awal ialah 30 peratus.

Beliau berkata, penubuhan mahkamah khas untuk mendengar kes-kes rasuah juga akan dapat memendekkan jangka masa perbicaraan kes rasuah yang pada kebiasaannya mengambil masa yang lama.

“Secara purata, sesuatu kes akan mengambil masa selama 8.5 tahun. Ada juga kes yang memakan masa selama 10 hingga 12 tahun.

“Ini akan mendatangkan ketidakadilan pada tertuduh dan saksi yang tidak selesa kerana perlu menunggu lama,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Perasmian Mahkamah Khas Jenayah Rasuah di sini pada Rabu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Sei Idris Jala dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamad.

Sementara itu, Pengarah PEMANDU, D. Ravindran berkata, penubuhan mahkamah khas rasuah menunjukkan kerajaan serius dalam menangani gejala rasuah dan membendung isu tersebut dari segenap sudut.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh PEMANDU, Abu Kassim juga bersetuju bahawa penubuhan mahkamah khas rasuah bersesuai dengan objektif untuk mempercepatkan perbicaraan.

“Penubuhan mahkamah khas adalah inisiatif yang baik kerana kes pendakwaan oleh SPRM akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk berjaya di mana masa yang diambil untuk menyelesaikan sesuatu kes adalah lebih cepat,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain