suria

Dr Md Isa Jangka Banjir Akan Pulih Isnin Ini

KANGAR: Banjir yang melanda Perlis sejak Selasa lalu dijangka pulih Isnin ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Sabtu

Md Isa berkata bilik gerakan banjir Perlis yang beroperasi di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini boleh ditutup pada hari yang sama jika keadaan telah pulih.

Beliau berkata banjir mulai surut di kebanyakan kawasan tetapi jika berlaku air pasang, banjir akan lambat surut.

Ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di dewan orang ramai Kampung Padang Petani, Jejawi, dekat sini hari ini, beliau turut menolak dakwaan bahawa empangan Timah Tasoh pecah menyebabkan berlaku banjir.

Katanya apa yang berlaku ialah air dari empangan itu dilepaskan bagi mengawal paras air di dalamnya.

Terdahulu, beliau turut melawat mangsa banjir di Kampung Pengkalan Asam, Kampung Kota Keran, Muzium Kota Kayang dan Surau Kampung Tok Kandang.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Perlis Nishad Mohamed Mohd Shaffy pula berkata paras air di empangan Timah Tasoh kini berada di tahap amaran iaitu setinggi 29.50 meter.

Katanya paras itu lebih rendah berbanding tiga hari lalu dengan mencatat bacaan 29.90 meter manakala hari ini empat daripada enam pintu empangan masih dibuka bagi membebaskan air.

Menurutnya paras amaran empangan itu ialah antara 29.40 meter sehingga 29.60 meter.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Perlis berada di pusat pemindahan sehingga kini ialah 3,844 orang dan menurut jurucakap bilik gerakan banjir Perlis, kebanyakan mangsa ialah dari kawasan Kangar membabitkan 2,923 orang yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan.

Bagi kawasan Arau, 888 mangsa ditempatkan di enam pusat pemindahan manakala di kawasan Padang Besar jumlah mangsa hanya 33 orang yang ditempatkan di satu pusat pemindahan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain