suria

Pemantauan Terhadap 51 Penerbangan Dapati Tiada Kesan Radioaktif Lebihi Paras Normal

KUALA LUMPUR: Pemantauan terhadap penumpang dan anak kapal yang menaiki 51 penerbangan dari Jepun sehingga Sabtu mendapati tiada kadar dedahan radioaktif melebihi paras normal.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata pihaknya masih meneruskan pemantauan secara aktif mengenai kemalangan nuklear di Jepun dan impaknya kepada negara ini menerusi Lembaga Perlesenan Tenaga Atom(AELB), Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Meteorologi.

"Seramai 29 individu pula telah datang ke AELB dan Agensi Nuklear Malaysia untuk mendapatkan khidmat pemantauan cemaran," katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa Jepun telah mengeluarkan perintah larangan penjualan susu dari Fukushima dan Ibaraki serta beberapa jenis sayuran dari Fukushima, Ibaraki, Tochigi dan Gunma.

"Bagi produk pertanian dari Miyagi, Yamagata, Saitama, Chiba, Niigata dan Nagano pula, arahan pensampelan dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Merujuk pada laporan akhbar Berita Harian hari ini mengenai produk sayur dan sos kuning berempah diimport dari Jepun yang dikesan tercemar dengan bahan radioaktif oleh pihak berkuasa di Singapura, Ongkili berkata Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan pengguna di negara ini supaya tidak perlu khuatir dengan makanan yang diimport dan dijual di pasaran.

"Kementerian Kesihatan akan sentiasa memantau keselamatan produk makanan dari masa ke semasa termasuk produk makanan yang diimport dari Jepun," katanya sambil menjelaskan 37 sampel makanan telah diambil dan didapati kesemuanya mematuhi tahap kandungan radioaktif yang dibenarkan.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengekalkan pemeriksaan tahap lima iaitu tahan, uji dan lepas terhadap semua produk makanan dari Jepun di bawah Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Fosim) di pintu masuk negara ini.- BERNAMA

Artikel Lain