suria

Kejutan Budaya...

PENULIS hampir pasti seandainya warga Perth, Australia berkunjung ke Malaysia, mereka akan terkena kejutan budaya - apabila melihat betapa rakyat Malaysia khususnya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya (PJ), Pulau Pinang, Johor Baru dan lain-lain lagi tidak tahu bila hendak masuk tidur.

Malah selepas berada lima hari di Perth penulis sendiri telah terkena kejutan budaya bila kembali ke PJ. Manakan tidak, selepas jam lima petang dan menjelang malam, bandar Perth seperti terkena serangan burung Garuda.

Dalam erti kata yang lain, bila malam menjelma, bandar Perth sunyi sepi tanpa manusia mundar-mandir atau manusia lepak-lepak di restoran sepertimana kita.

Di negara kita, lagi lanjut malam lagi penuh restoran mamak. Sebaliknya di Perth, lagi larut malam, lagi bertambah sunyi dan sepi. Malah bar pun tak ramai orang.

Jam baru 8 malam tetapi suasana seolah-olah terasa macam tengah malam. Kedai-kedai runcit, kedai buku dan pusat membeli-belah tutup pintu sama ada jam 5.30 petang atau jam 6.30 petang.

Pada sebelah malam, kalau lapar, hanya beberapa kedai kebab yang dimiliki oleh orang Lebanon atau Turki sahaja yang masih beroperasi. Satu-satunya restoran makan segera yang penulis lihat masih buka sehingga ke malam ialah McDonald.

Ahad...

Itu baru hari biasa. Kalau Ahad macam mana? Ahad lagi apa satu pun tidak buka termasuk pasar raya, mall, kedai runcit, restoran dan lain-lain lagi. Ada satu restoran Malaysia yang buka pada hari Ahad tetapi bermula pada waktu tengah hari.

Menjelang hari Isnin, semuanya rancak termasuk mereka yang bersantai di laluan mall juga ramai. Tapi macam penulis sebut pada awal tulisan ini tadi, hanya sekadar jam 5.30 atau 6.30 petang. Lepas itu segala-galanya kembali sunyi.

Ketika penulis berjalan ambil angin pada waktu malam di Hay Street/Mall iaitu jalan utama di tengah-tengah bandar Perth, penulis telah bertemu dengan seorang warga Indonesia yang telah 7 tahun bermastautin di ibu negeri Australia Barat itu.

Tapi jangan salah anggap. Dia bukan buruh binaan kerana Kerajaan Australia mengharamkan pengambilan tenaga buruh dari negara luar untuk kerja-kerja pembinaan atau buruh.

Dia adalah seorang usahawan yang menjalankan kerja-kerja membersih jalan dan pejabat. Dia dalam proses untuk mewarisi perniagaan itu daripada ibu-bapanya.

Sementara dia mewarisi perniagaan itu, dia terlebih dahulu mencari pengalaman dengan bekerja dengan syarikat kawannya dan juga syarikat ibu-bapanya sendiri. Kerjanya bermula pada waktu malam selepas bandar Perth sunyi sepi dari segala-galanya.

Katanya, Perth ibarat bandar untuk orang pencen. Tidak ada aktiviti malam di bandar ini. “Selepas waktu pejabat, semua orang duduk di rumah tak mahu keluar ke mana-mana,” kata pemuda asal dari Balik Papan, Kalimantan Barat itu.

Menurutnya lagi, satu-satunya kawasan yang ada sedikit aktiviti malam ialah di kawasan Northbridge. Kawasan-kawasan lain, katanya, semua tutup bila malam menjelma.

Katanya, kalau hendak berhijrah atau mencari hartanah, Perth adalah pilihan terbaik kerana ia tidak sibuk dan kucar-kacir sepertimana bandar raya lain di muka bumi ini. Di sini segala-galanya teratur dan tersusun sepertimana bandarnya juga yang tersusun mengikut petak dari Barat ke Timur.

“Saya khuatir dalam tempoh tiga tahun lagi nilai hartanah di sini khususnya di sepanjang Sungai Swan akan melambung tinggi,” katanya lagi.

Kereta, jalan dan pengangkutan awam...

Pada siang hari, jumlah orang yang memasuki kota ini hanya sekitar 100,000 orang termasuk 15,000 pemastautin di dalam bandar. Jumlah keseluruhan penduduk Perth termasuk di kawasan metropolitannya hanyalah 1.6 juta orang.

Kejutan budaya kedua yang penulis sendiri alami ialah semua pengangkutan awam yang beroperasi dalam radius bandar Perth (bas dan LRT) adalah percuma. Bas percuma milik Majlis Perbandaran Perth ini beroperasi dari jam 6.30 pagi hingga 7.30 malam.

Hakikat bahawa ‘kehidupan’ di dalam bandar Perth terhenti pada waktu malam turut menyaksikan pengangkutan awamnya yang percuma itu turut menamatkan perkhidmatan mereka menjelang malam. Hanya teksi sahaja kelihatan mundar-mandir pada waktu malam.

Orang tempatan juga tidak begitu kelihatan pada waktu malam di tengah-tengah bandar ini melainkan wajah-wajah pelancongan asing dan juga beberapa kerat orang asli Australia yang tidak berkasut.

Walaupun di luar pusat bandar, outlet kereta bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, peliknya, di dalam kawasan bandar, tidak banyak kenderaan yang kelihatan. Lebih pelik lagi, semua jalan yang menuju ke tengah-tengah bandar Perth kecil-kecil belaka - hanya muat untuk laluan sehala.

Ternyata sekali sistem pengangkutan awamnya sangat berkesan sehinggakan tidak ramai yang perlu menggunakan kenderaan sendiri untuk ke pusat bandar.

Di setiap penjuru bandar di mana perkhidmatan bas dan lrt berakhir, terdapat kawasan letak kenderaan yang luas untuk pengguna meletakkan kenderaan masing-masing dan bertukar menggunakan perkhidmatan bas percuma ke pusat bandar.

Perth memang sesuai sebagai destinasi untuk bercuti bersama keluarga. Bukan sahaja kerana ia hanya lima jam penerbangan dari Kuala Lumpur tetapi juga kerana ia adalah sebuah bandar yang tidak memeningkan kepala.

Bandarnya bersih. Sungainya cantik khususnya kalau mengambil feri ke bandar pelabuhan Fremantle. Pendek kata ia adalah sebuah bandar yang tenang - seolah-olah detik dan masa tidak pernah berganjak.

Artikel Sebelum

Artikel Lain