suria

PGSM Harap Victoria Hormat Keputusan Mahkamah

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berharap agar seorang wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin menghormati keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk menjadi seorang peguam syarie.

Timbalan Presiden PGSM, Musa Awang juga berharap agar keputusan turut dihormati oleh mana-mana peguam bukan Islam lain yang turut mempunyai hasrat yang sama. Selain itu, Musa juga memberitahu, pihaknya menyambut baik keputusan tersebut yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Rohana Yusuf pada Khamis.

"Keputusan tersebut menggambarkan bahawa peraturan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bahawa hanya orang Islam sahaja boleh memohon sebagai peguam syarie jelas tidak berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Musa juga berharap, keputusan itu akan dapat membuka mata Majlis Agama Islam di negeri yang masih belum meletakkan syarat yang sama untuk berbuat demikian.

Pada Khamis, Victoria gagal dalam usahanya untuk bergelar peguam syarie selepas mahkamah menolak permohonan beliau untuk mencabar keputusan MAIWP yang menolak permohonannya untuk menjadi seorang peguam syarie.

Victoria, 49, memfailkan permohonan tersebut pada 19 Mei 2010 di mahkamah sivil dengan menamakan MAIWP sebagai defendan.

Beliau yang berkelulusan Diploma dalam Undang-Undang Syariah dan Amalan daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada tahun 2004 diwakili peguam Ranjit Singh. MAIWP diwakili oleh peguam Sulaiman Abdullah.

Rohana pada penghakimannya berkata, MAIWP mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mengeluarkan syarat mengenai pelantikan peguam syarie di mana syarat berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

MAIWP mempunyai kuasa untuk berbuat demikian seperti mana dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain