Seorang Hilang, Seorang Lagi Lemas Dalam Kejadian Di Tioman Dan Kuantan - Semasa | mStar

Seorang Hilang, Seorang Lagi Lemas Dalam Kejadian Di Tioman Dan Kuantan

KUANTAN: Seorang pemuda hilang manakala seorang lagi lemas dalam kejadian di Kuantan serta Tioman, masing-masing pada Jumaat dan Khamis.

Dalam kejadian pada 12 tengah hari, seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kuantan dekat Kampung Tanjung Punai di sini.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, sembilan anggota bomba dan penyelamat bergegas ke tempat kejadian untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima panggilan pada 12.33 tengah hari.

"Usaha mencari itu turut melibatkan empat anggota bomba dari unit penyelam. Pencarian dibuat di kawasan sekitar tiga kilometer dari tempat mangsa terjatuh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata operasi terpaksa dihentikan pada 6 petang kerana hujan lebat dan akan disambung semula awal pagi esok dengan tambahan anggota penyelamat.

Sementara itu, dalam kejadian pada 2 petang semalam pula, percutian sekumpulan warga Singapura bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas ketika berenang di Kampung Juara, Tioman.

Mangsa dikenali sebagai J. Ananthan, 32, warga Malaysia yang mempunyai status penduduk tetap Singapura.

Ananthan, yang merupakan anggota polis di Singapura, tiba di pulau peranginan berkenaan pada tengah hari bersama 10 lagi rakannya sebelum melakukan aktiviti berenang bersama salah seorang rakannya berhampiran kawasan perlindungan penyu.

Rakan mangsa kemudian melihat Ananthan yang mengalami kesukaran, melambai-lambai tangannya meminta pertolongan.

Seorang pekerja di kawasan perlindungan penyu itu kemudian terjun ke laut untuk menyelamatkan Ananthan namun mangsa didapati telah meninggal dunia ketika dibawa ke pantai.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supritendan Johari Jahaya yang mengesahkan kejadian itu berkata, mayat mangsa kemudian dibawa dengan pesawat Cessna ke lapangan terbang Senai di Johor untuk dibawa pulang ke Singapura. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

Artikel Lain