suria

Seorang Hilang, Seorang Lagi Lemas Dalam Kejadian Di Tioman Dan Kuantan

KUANTAN: Seorang pemuda hilang manakala seorang lagi lemas dalam kejadian di Kuantan serta Tioman, masing-masing pada Jumaat dan Khamis.

Dalam kejadian pada 12 tengah hari, seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kuantan dekat Kampung Tanjung Punai di sini.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, sembilan anggota bomba dan penyelamat bergegas ke tempat kejadian untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima panggilan pada 12.33 tengah hari.

"Usaha mencari itu turut melibatkan empat anggota bomba dari unit penyelam. Pencarian dibuat di kawasan sekitar tiga kilometer dari tempat mangsa terjatuh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata operasi terpaksa dihentikan pada 6 petang kerana hujan lebat dan akan disambung semula awal pagi esok dengan tambahan anggota penyelamat.

Sementara itu, dalam kejadian pada 2 petang semalam pula, percutian sekumpulan warga Singapura bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas ketika berenang di Kampung Juara, Tioman.

Mangsa dikenali sebagai J. Ananthan, 32, warga Malaysia yang mempunyai status penduduk tetap Singapura.

Ananthan, yang merupakan anggota polis di Singapura, tiba di pulau peranginan berkenaan pada tengah hari bersama 10 lagi rakannya sebelum melakukan aktiviti berenang bersama salah seorang rakannya berhampiran kawasan perlindungan penyu.

Rakan mangsa kemudian melihat Ananthan yang mengalami kesukaran, melambai-lambai tangannya meminta pertolongan.

Seorang pekerja di kawasan perlindungan penyu itu kemudian terjun ke laut untuk menyelamatkan Ananthan namun mangsa didapati telah meninggal dunia ketika dibawa ke pantai.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supritendan Johari Jahaya yang mengesahkan kejadian itu berkata, mayat mangsa kemudian dibawa dengan pesawat Cessna ke lapangan terbang Senai di Johor untuk dibawa pulang ke Singapura. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain