suria

Dr Pornthip Dibenar Mohon Khidmat Pengawal Peribadi

KUALA LUMPUR: Pakar forensik dari Thailand, Dr Pornthip Rojasunan pada Khamis, dibenarkan membuat permohonan untuk mendapatkan khidmat pengawal peribadi persendirian sepanjang beliau berada di negara ini untuk memberi keterangan pada Suruhanjaya Siasatan yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Permohonan itu dibuat menerusi Tetuan Malik Sarwar dan berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh setiausaha suruhanjaya, Datuk Saripuddin Kasim, permohonan tersebut telah dipersetujui oleh suruhanjaya.

Selain itu, Pornthip yang sinonim dengan imej funky dan rambut berwarna-warni juga memohon dibenarkan untuk menangguhkan keterangannya yang dijadualkan pada 16 dan 17 Mac kepada 18 hingga 20 April depan.

Bagaimanapun, suruhanjaya telah meminta supaya Pornthip menimbangkan tarikh yang lebih awal, iaitu sebelum minggu pertama April memandangkan siasatan suruhanjaya perlu diselesaikan pada 25 April depan.

Turut dimaklumkan ialah, suruhanjaya yang dipegerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen itu bersedia untuk menjalankan prosiding pada hari minggu.

Selain James, turut menganggotai suruhanjaya ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik/ Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Suruhanjaya tersebut ditubuhkan bagi menyiasat mengenai kematian Teoh, 30, yang merupakan pembantu politik kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah selepas dia ditemui mati pada 16 Julai 2009 di luar koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini.

Kematian itu menimbulkan banyak persoalan kerana beberapa jam sebelum itu, Teoh hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 plaza sama sebagai saksi dalam dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan Kerajaan Negeri Selangor.

Sementara itu, pada prosiding Khamis, peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM juga memaklumkan dua pakar psikiatri yang dilantik oleh badan berkecuali tersebut bersedia untuk menemuduga keluarga Teoh pada 21 dan 22 Mac ini.

Dua pakar tersebut ialah Hospital Permai, Johor Dr Badaiah Yahya dan Pakar Perunding Psikiatri Kementerian Kesihatan Dr Nor Hayati Ali.

Peguam Christopher Leong yang mewakili Majlis Peguam pula memaklumkan bahawa pakar psikiatri pihaknya iaitu Pengarah Hospital Permai, Dr Benjamin Chan juga bersedia untuk menemuduga keluarga Teoh. Temuduga tersebut diperlukan untuk membantu suruhanjaya mengenal pasti sifat dan sikap mendiang.

Artikel Berikut

Artikel Lain