suria

Dewan Rakyat: Kadar Jenayah Berat Menurun 2006-2010

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya mengurangkan kadar jenayah berat sebanyak 17 peratus pada 2010 berbanding hanya enam peratus pada 2006.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kejayaan pasukan polis menurunkan kadar jenayah berkenaan dicapai menerusi operasi-operasi bersepadu terhadap kumpulan penjenayah hingga dihadapkan ke muka pengadilan.

"Jumlah jenayah berat yang direkodkan pada 2010 ialah sebanyak 912 kes berbanding 1,096 pada 2009," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) mengenai statistik jenayah berat bagi lima tahun kebelakangan ini.

Menurut Hishammuddin lagi, jumlah jenayah berat yang direkodkan pada 2006 ialah sebanyak 1,405 kes namun menurun kepada 1,321 kes pada 2007 dan 1,264 kes pada 2008.

Sementara itu mengulas mengenai strategi kerajaan bagi mengurangkan kadar jenayah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Hishammuddin berkata, kementeriannya telah melaksanakan beberapa program seperti pengawaman polis bagi membolehkan 7,402 orang anggota polis beruniform yang selama ini menjalankan tugas pentadbiran untuk melaksanakan tugas kepolisan.

Selain itu katanya, kementerian juga melaksanakan program kepolisan berprofil tinggi bagi membolehkan purata lawatan sebanyak 8,000 ke 9,000 lawatan seminggu, penempatan 90 unit balai polis bergerak diseluruh negara dan penambahan 812 buah motosikal rondaan polis ke kawasan-kawasan panas bagi membendung kadar jenayah dalam negara.

"KDN juga sedang dan akan mengadakan kerjasama strategik dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menangani jenayah seperti penggunaan kem tentera untuk melatih dan merekrut anggota polis atau mengadakan rondaan secara bersama.

"Selain itu kementerian juga sedang melakukan penempatan semula seramai 8,140 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sebelum ini bertugas di sempadan untuk bertugas di negeri kawasan panas iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang mengikut giliran," katanya.

Artikel Lain