suria

Bekas Pengarah Pembangunan Negeri Kedah Dilantik KP JKM

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Pembangunan Negeri Kedah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Hadzir Md Zain dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkuatkuasa Selasa lepas.

Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pelantikan Hadzir itu adalah bagi menggantikan Datuk Meme Zainal Rashid yang bersara pada 1 Februari lalu.

Berkelulusan dalam bidang Sarjana Sosiologi dari Universiti Leicester, United Kingdom, Hadzir,54 mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik menjawat jawatan Penolong Setiausaha Bahagian Perancangan Dasar, Kementerian Pertanian dari 1983 hingga 1988.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Seberang Perai Utara, Pulau Pinang (1989-1990), Penolong Pengarah unit Perancang Ekonomi Sektor Pertanian, Pulau Pinang (1990-1991) dan Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Belia dan Sukan (1992-1997).

Hadzir juga pernah menyandang jawatan sebagai Penyelaras Projek Kanan Pengurusan Projek, Pusat Ekonomi Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) (2000-2004), Pengarah INTAN Kampus Wilayah Tengah (2005-2006) dan Pendaftar INTAN Kampus Utama Bukit Kiara (2006-2007). - BERNAMA

Artikel Lain