suria

Jangan Pandang Rendah Sikap Pengundi - TPM

Calon Barisan Nasional, Syed Ibrahim Syed Ahmad (tiga dari kiri) bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam. - Foto THE STAR Oleh SAMUEL ONG

TEMERLOH: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) agar tidak memandang rendah mengenai sikap pengundi walaupun parti itu beroleh beberapa kejayaan pada pilihan raya kecil sebelum ini.

Beliau berkata dalam setiap pilihan raya, sentimen dan perasaan pengundi adalah berbeza dan tumpuan bagi menarik mereka agar memberi kemenangan kepada BN perlu dijalankan dengan bersungguh-sungguh.

Justeru katanya, jentera BN tidak boleh mengambil mudah dalam setiap pilihan raya yang dihadapi walaupun bertanding di kawasan kubu kuat parti itu.

"Kemenangan tidak pernah mudah, saya tidak pernah nyatakan bahawa jangkaan kemenangan kali ini mudah walaupun sentimen sudah bertambah baik dan majoriti meningkat.

"Dari segi strategi kita tak pernah kata ini satu pertandingan yang mudah, kita tak tahu sentimen dan hati nurani pengundi.

"Kita tak boleh rendahkan sikap pengundi, jangan ada sikap pandang rendah terhadap pengundi," katanya pada sidang media selepas berakhirnya proses penamaan calon di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), di sini, Sabtu.

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau menyaksikan saingan satu lawan satu antara wakil BN dan PAS.

BN diwakili Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Pahang dan Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, manakala PAS mempertaruhkan semula bekas calonnya iaitu Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim, 43, seorang ahli perniagaan.

Mengulas mengenai sasaran majoriti yang diletakkan BN terhadap calonnya itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, keputusan sama ada parti itu mampu meraih majoriti yang lebih besar bergantung kepada usaha jentera parti meraih undi.

"Harapan kita sepatutnya kita boleh meraih majoriti yang lebih besar sedikit, namun sama ada besar atau tidak ia akan bergantung kepada gerak kerja jentera BN.

"Yang penting jentera mesti bergerak dan tertumpu kepada pengundi. Dalam pilihan raya kecil, pengundi adalah raja dan kita faham mereka mempunyai citarasa dan aspirasi...saya harap itu juga dapat dinilai oleh mereka," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai peluang calon BN di DUN Kerdau dan DUN Merlimau yang akan menghadapi pilihan raya kecil serentak pada 6 Mac depan, Muhyiddin berkata beliau yakin dengan kewibawaan mereka untuk memberi kemenangan kepada BN.

"Saya yakin dengan kewibawaan Syed Ibrahim kerana mempunyai latar belakang yang baik serta mempunyai kelulusan yang tinggi. Beliau juga sudah ada rekod yang cemerlang dari segi perhubungan dengan masyarakat.

"Manakala Roslan Ahmad di Merlimau, beliau juga mempunyai kewibawaan.

"Kedua-dua mereka ini akan membawa obor BN dan atas dasar itu kita amat mengharapkan sokongan daripada pengundi bagi memastikan kemenangan calon-calon kita," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain