suria

Suruhanjaya: Tiada Kesan Pergelutan

KUALA LUMPUR: Pengawai Penyiasat Tempat Kejadian, Cif Inspektor Mazli Jusoh @ Che Kob memberitahu, bahawa beliau tidak menemui sebarang kesan berlaku pergelutan pada tingkap yang dipercayai menjadi tempat pembantu politik, Teoh Beng Hock jatuh. Mazli yang dipanggil sebagai saksi suruhanjaya kelima berkata, beliau ada membuat percubaan untuk mencari kesan pergelutan berdasarkan pengalamannya sebelum ini.

“Berdasarkan pengalaman saya, jika berlaku pergelutan atau pergaduhan, keadaan akan didapaati dalam keadaan yang berselerak.

“Jika tempat kejadian melibatkan permukaan yang licin atau lutsinar, kita boleh lihat jika si pelaku ada melanggar dinding yang akan didapati beberapa kesan berselerakka di beberapa tempat,” katanya.

Berdasarkan pemerhatiannya, saksi yang sedang disoal oleh peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, tingkap itu mungkin menjadi tempat yang strategik untuk menghisap rokok.

Selain itu, pegawai polis yang bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Shah Alam, dekat sini juga memberitahu bahawa pemeriksaan yang dilakukan di tingkap yang boleh dibuka sehingga 111.76 sentimeter luas itu menemui tujuh kesan cap jari. Bagaimanapun, Mazli, 33, menambah cap jari tersebut tidak dapat dikenal pasti kerana tidak mempunyai sifat yang cukup ditambah dengan keadaan tingkap yang berhabuk tidak memungkinkan proses menimbulkan cap jari dapat dilakukan.

“Permukaan bingkai cermin yang berhabuk menganggu jalur-jalur cap jari yang melekat yang perlu kita ambil,” katanya yang turut menjelaskan bahawa proses menimbulkan cap jari dilakukan dengan menggunakan berus dan sejenis serbuk. Seterusnya saksi menambah, beliau berpendapat kesan cap jari itu masih baru kerana kesan tersebut tidak disalaputi dengan habuk. Sebaik sahaja mendengar penjelasan Mazli, Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen bertanya mengapa perkara itu tidak boleh dilakukan seperti mana yang ditayangkan di dalam drama penyiasatan popular, Crime Scene Investigation.

Dengan nada bergurau, Mazli berkata: “Yang Arif, memang kalau kita ke tempat kejadian, ada orang akan bertanya macam mana Crime Scene Investigation New York boleh mengalihkan cap jari yang bertindih-tindih. Tapi kita tidak mempunyai teknologi begitu.”

Ekoran sampel cap jari itu tidak dapat diambil, Mazli mengakui bahawa beliau tidak membuat perbandingan untuk menyingkirkan cap jari mangsa daripada contoh-contoh cap jari yang ditemui pada tingkap pejabat SPRM itu.

Mazli juga memberitahu bahawa beliau menemui kesan kotoran seperti minyak yang tidak berwarna pada tingkap dan pada pendapatnya, ia adalah kesan minyak rambut yang mungkin tertinggal apabila seseorang bersandar di situ.

“Saya juga cuba mencari jika terdapat kesan fiber yang tertinggal pada tingkap kerana mungkin pakaian atau bahagian tubuh badan terkena pada tingkap semasa jatuh meninggalkan tanda fiber. Bagaimanapun, tiada fiber dijumpai,” katanya.

Semasa dirujuk gambar-gambar tempat kejadian oleh pegawai pengendali suruhanjaya Kwan Li Sa, James secara tiba-tiba menyoal sekiranya saksi masih menggunakan kamera yang sama digunakan pada tahun 2009.

Apabila Mazli menjawab ya, James berkata: “Beli kamera yang lebih baiklah. Semua gambar hitam...,”

Mazli berkata demikian semasa sedang memberi keterangan di dalam prosiding suruhanjaya yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian Teoh, 30, yang merupakan pembantu politik kepada EXCO Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Teoh ditemui mati diluar koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam pada 16 Julai 2009 dan kematian itu menimbulkan persoalan kerana beberapa jam sebelum itu dia hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan Kerajaan Selangor.

Satu prosiding inkues diadakan untuk menyiasat kematian tersebut yang memulakan prosiding di Mahkamah Koroner Shah Alam pada 29 Julai 2009 dan pada 5 Januari lalu, Koroner Azmil Muntapha Abas memberikan keputusan terbuka dalam prosiding inkues. Keputusan terbuka bermaksud sebab kematian itu tidak dapat ditentukan sama ada disebabkan membunuh diri atau dibunuh.

Prosiding suruhanjaya pula mula diadakan pada Isnin lalu dan selain James, suruhanjaya juga dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik/Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom. Anggota yang lain iaitu Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim yang dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya.

Terma rujukan Suruhanjaya seperti untuk menyiasat sama ada atau tidak terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan pemeriksaan Teoh Beng Hock dalam perjalanan penyiasatan Laporan Shah Alam Nombor 0052/2009 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dengan Perintah-Perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai, jika perlu.

Selain itu, suruhanjaya itu juga bertujuan untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya.

Artikel Berikut

Artikel Lain