suria

Kekosongan Kerusi Kerdau Telah Dimaklumkan Kepada SPR - Speaker DUN Pahang

KUANTAN: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Wan Mohamed Razali Wan Mahussin mengesahkan telah menghantar surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kerdau kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.

Katanya surat itu dihantar pukul 3 petang tadi sejurus selepas pihaknya menerima surat pengesahan kematian penyandang kerusi terbabit Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

"Kita telah terima sijil kematian tengah hari tadi daripada keluarga Allahyarham dan kita sudah menghantar surat makluman kekosongan kerusi selepas itu kepada pihak SPR," katanya kepada Bernama, di sini, Isnin.

Zaharuddin, 64, meninggal dunia akibat serangan jantung kelmarin.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional memperolehi 4,135 undi menewaskan calon PAS Hassanudin Salim yang mendapat 2,520 undi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain