suria

Pengerusi Viva Palestina Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM Datuk Adnan Mohd Tahir, 58, meninggal dunia di Hospital Pantai, Bangsar awal Sabtu akibat serangan jantung.

Allahyarham yang juga Presiden OrphanCARE meninggal dunia selepas dihantar ke hospital itu apabila pengsan di rumahnya di Lorong Limau Kasturi, Bangsar di sini.

"Allahyarham ditemui pengsan oleh isterinya di bilik air rumah mereka pada 2.30 pagi sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans," kata Timbalan Presiden VPM Siti Jamilah Sheikh Abdullah ketika dihubungi Bernama.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya Datin Elya Lim Abdullah dan tiga orang anaknya, seorang lelaki dan dua perempuan.

Siti Jamilah berkata jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar di Bangsar untuk disembahyangkan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zohor.

"Allahyarham adalah seorang yang kuat bekerja dan seorang sangat baik kepada sesiapa sahaja. Kami yang pernah bekerja bersama-sama dengannya berasa sedih dan pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang besar buat kami semua," kata Siti Jamilah.

Sementara itu, anak Allahyarham Adli, 29, berkata beliau sekeluarga sangat terkejut dengan pemergian bapanya.

"Memang pemergiannya mengejut sangat. Tak sangka dia diserang penyakit jantung secara tiba-tiba. Walaupun sedih, keluarga tetap menerima pemergian beliau dengan reda," katanya.

Viva Palestina Malaysia merupakan sebuah pertubuhan amal bertujuan mencari tindakan segera, resolusi saksama dan mampan berhubung konflik di Palestin. Ia merupakan gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia yang merentas garisan kaum, agama dan politik.

OrphanCARE merupakan NGO yang tidak membuat untung yang ditubuhkan pada 2008 bertujuan untuk memberi peluang kepada anak yatim dan bayi yang ditinggalkan merasai kasih sayang dan jagaan.

Ia bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mempercepat proses pengambilan anak angkat dimana bayi yang ditinggalkan dan kanak-kanak di rumah anak yatim dapat segera ditempatkan di bawah penjagaan yang sesuai. - BERNAMA

Artikel Lain