suria

Najib Mahu Umno Bahagian Selesai Segera Masalah Dalaman

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Umno peringkat bahagian diingatkan supaya menyelesaikan dengan segera masalah dalaman yang wujud sama ada di peringkat pengurusan ataupun pentadbiran agar parti itu lebih mantap.

Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, sebarang ketegangan atau masalah yang timbul di peringkat bahagian perlu ditangani dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan peranan bahagian-bahagian terlibat.

"Kita dengar apakah permasalahan dalaman dan kita telah beri nasihat kepada mereka mengenai apa yang patut dilakukan supaya akan lebih padu lagi dari segi kepimpinan peringkat bahagian," katanya pada sidang media pada sesi pertemuan dengan 152 Ketua Bahagian Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, masalah dalaman yang wujud dalam Umno bukan berada pada tahap yang serius sehingga menyebabkan parti itu rapuh.

"Mana-mana pun ada (masalah dalaman) tapi tidak sampai parti kita rapuh seperti sesetengah parti yang lain, tidak ada orang yang tinggalkan Umno.

"Yang cuba kita betulkan ialah kalau ada perselisihan faham di antara pemimpin di peringkat bahagian, kita tak boleh selesai 100 peratus...itu realitinya.

"Tapi kita yakin boleh meredakan keadaan sehingga tidak menjejaskan kemampuan bahagian itu," katanya.

Menurutnya lagi, dalam sebuah sistem demokrasi, persaingan hingga menyebabkan berlakunya perselisihan faham merupakan perkara biasa yang boleh ditangani dengan baik.

"Dalam sistem demokrasi mesti berlaku persaingan, itu satu realiti yang tidak dapat kita elakkan.

"Tapi kita mesti mengurangkan sampai ia diminimumkan atau sekurang-kurangnya tidak menjejaskan kelicinan pentadbiran dan pengurusan di peringkat akar umbi," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuannya dengan Ketua Bahagian Umno hari ini, Najib berkata ini adalah peluang yang terbaik untuknya mendapatkan maklum balas serta mendengar sendiri permasalahan yang wujud di peringkat akar umbi.

"Ada yang timbulkan mengenai masalah infrastruktur, hospital, sekolah dan sebagainya. Saya ambil maklum segala-galanya apa yang mereka bangkitkan.

"Ada juga yang bawa memorandum, kita akan kumpulkan. Mana yang perlu masa lebih lama, kita akan timbangkan kerana bukan semua tuntutan boleh selesai dalam masa singkat," katanya.

Pertemuan secara bersemuka sejak pukul 8.30 pagi itu merupakan salah satu Pelan Transformasi Politik (PTP) yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.

Kesemua 152 Ketua Bahagian berkenaan bukan di kalangan Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Sebelum ini pertemuan seumpama itu dimulakan dengan kumpulan Ahli Parlimen BN dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sarawak bagi mendapatkan maklum balas yang sama.

Artikel Lain