suria

Jenayah Siber Naik 127 Pertaus Tahun Lepas - CyberSecurity

KUALA LUMPUR: Kegiatan jenayah siber di negara ini telah melonjak 127 peratus tahun lepas iaitu 8,090 kes berbanding 3,564 kes pada tahun sebelumnya, demikian menurut CyberSecurity Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt.Kol (B) Husin Jazri berkata daripada jumlah keseluruhan kes tahun lepas, aduan terbanyak membabitkan kes penipuan dan pemalsuan dalam Internet iaitu 2,212 kes.

"Pada tahun 2009, hanya 3,564 kes direkodkan oleh Cyber999 tetapi jumlah itu melonjak pada kadar yang tinggi tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas perasmian pertandingan KL GreenHat 2011, di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), di sini, Rabu.

Pertandingan dua hari itu dirasmikan oleh Dekan Institut Teknologi Maklumat Malaysia (MIIT) UniKL, Prof Dr Roslan Ismail.

Husin berkata antara aktiviti yang banyak dikesan ialah serangan peribadi bermotifkan politik, pornografi, penipuan dan penyebaran virus.

"Kes membabitkan ugutan pula mencatatkan 419 kes tahun lepas," katanya. CyberSecurity Malaysia adalah pusat pakar keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang mengendalikan Pusat Bantuan Cyber999 bagi membanteras jenayah siber. Sementara itu, Roslan berkata aktiviti menggodam secara berhemah (ethical hacking) adalah salah satu pertandingan dalam KL Greenhat 2011.

Katanya penggodam beretika (ethical hacker) adalah bukan orang yang menceroboh maklumat tetapi orang yang membantu untuk memperkasa lagi sistem yang sedia ada daripada diceroboh.

Selain itu juga, kelahiran lebih ramai penggodam beretika dalam keselamatan siber mampu menyelaras dan melakukan pemeriksaan komprehensif kepada sistem rangkaian komputer termasuk Internet dan aplikasi komputer.

'Ethical hacker' juga mampu mengenal pasti tahap data terdedah dan memberikan cadangan untuk membetulkan kelemahan tersebut, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain