suria

Tiga Rumah Di Alor Setar Terbakar

ALOR SETAR: Tiga buah rumah yang didiami dua keluarga dan enam pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Taman Wira, Mergong di sini terbakar dengan rumah yang dihuni para pelajar itu musnah dalam kejadian Jumaat malam.

Kejadian kira-kira 9.50 malam itu dipercayai berpunca daripada litar pintas di rumah yang disewa pelajar dan api merebak dengan cepat ke rumah bersebelahan namun tidak membabitkan kemalangan yang serius dan kehilangan nyawa ekoran anggota dua keluarga itu tiada di rumah dan para pelajar itu sempat menyelamatkan diri.

Salah seorang pelajar itu Mohd Khairul Nazam Mohd Nasir, 20, berkata semasa kejadian dia bersama rakan-rakannya sedang mengulang kaji pelajaran dalam sebuah bilik dan tiba-tiba ternampak asap masuk ke dalam bilik mereka.

"Apabila kami buka pintu mendapati asap dan api mula marak di ruang tamu. Kemudian kami cuba untuk memadamkan api tapi sia-sia sebab api marak dengan cepat. Panik dengan kejadian itu kami semua lari selamatkan diri menggunakan pintu belakang tanpa dapat menyelamatkan barang-barang kami.

"Syukur kami semua selamat walaupun kami tinggal sehelai sepinggang. Hanya seorang rakan saya mengalami cedera ringan akibat terkena api dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Mohd Zubir Md Akhir, 55, berkata mujurlah ketika kejadian tiada anggota keluarganya di rumah kerana dia, isteri dan lima anaknya pergi ke Stesen Bas Shahab Perdana untuk membeli tiket untuk anaknya.

"Saya dapat panggilan telefon daripada jiran saya. Kemudian saya terus pulang ke rumah bagi menyelamatkan barang-barang berharga dalam rumah. Syukurlah rumah saya hanya terbakar di bahagian ruang tamu sahaja kerana pihak bomba pantas datang memadamkan kebakaran," katanya.

Dalam kejadian itu tujuh buah motosikal dan kereta turut musnah.

Kesemua keluarga terlibat dan enam pelajar itu kini tinggal di rumah saudara mara dan rakan-rakan buat sementara waktu sebelum kerja-kerja baik pulih rumah mereka dilakukan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar Md Noor Daud berkata pihak bomba menerima panggilan pada 9.53 malam dan bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

Dua jentera dari balai bomba Alor Setar dan sebuah dari Jalan Raja di sini dengan kekuatan 28 anggota dikerahkan ke tempat kejadian dan mengambil masa 12 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran itu. Katanya jumlah kerugian dianggarkan RM200,000 dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Kedah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang melawat tempat kejadian meminta pihak Perbadanan Perumahan Kerajaan Negeri menguruskan kerja-kerja penyelenggaraan rumah yang rosak dengan kadar segera bagi membolehkan mangsa-mangsa dapat tinggal di rumah mereka secepat mungkin.

"Ini kerana rumah tersebut dibina oleh syarikat perbadanan itu dan dilindungi oleh insurans. Jadi mereka perlu menyegerakan kerja-kerja membaik pulih rumah yang rosak akibat kebakaran itu," katanya.

Dalam lawatan itu, Ahmad Bashah menghulurkan bantuan makanan harian, pakaian dan wang tunai RM1,000 kepada keluarga terbabit dan RM300 kepada setiap pelajar. - BERNAMA

Artikel Lain