suria

Ong Tee Keat Perlu Hormat Keputusan Perwakilan, Kepimpinan MCA

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat perlu berhenti 'menyerang' kepimpinan parti itu kini dan menghormati keputusan perwakilan pada pemilihan parti tahun lepas.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata sebagai bekas pemimpin MCA, pandangan dan teguran Ong dihormati namun beliau juga harus menghormati barisan kepimpinan baru parti itu.

"Beliau juga mesti hormat keputusan anggota perwakilan," katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Wisma MCA hari ini.

Semalam, Ong di dalam satu kenyataan telah 'menyerang' Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dilabelkan sebagai 'lelaki tidak bermoral' kerana tidak berpegang kepada janji untuk melepaskan semua jawatan dalam parti ekoran skandal video seksnya pada 2007.

Dr Chua mengambil alih pucuk pimpinan parti tahun lalu selepas proses pemilihan pucuk pimpinan parti yang menyaksikan persaingan paling sengit dalam sejarah MCA.

Kong juga berkata di bawah kepimpinan Dr Chua, presiden baru MCA itu berjaya membawa kestabilan dalam parti selain mengembalikan sokongan masyarakat Cina terhadap parti berkenaan.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Ong itu tidak akan menggoyangkan perpaduan parti kerana Dr Chua telah membuktikan bahawa beliau mampu melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

Sementara itu, Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim yang senada dengan Kong dalam perkara tersebut, berkata Ong sepatutnya menghormati parti dan keputusan perwakilan.

"Sekarang MCA di bawah kepimpinan Dr Chua. Sebagai parti politik demokratik, sesiapa yang mahu jadi pemimpin boleh bertanding dalam pemilihan yang dibuat tiga tahun sekali. Tetapi bila kita dapat keputusan daripada perwakilan, siapa yang duduk di kerusi itu (presiden), kita mesti hormat," katanya.

Beliau juga menyelar kenyataan Ong itu yang disifatkan tidak kena pada masanya kerana dibuat menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

"Walaupun kita tidak boleh halang bila masa dia mahu bercakap, tetapi bercakaplah pada masa yang betul, orang akan boleh terima, tetapi kalau bercakap pada masa yang tidak sesuai, orang tidak suka," katanya. BERNAMA

Artikel Lain