suria

Lupus Bahan Bukti: Tertuduh Mohon Tukar Peguam

SHAH ALAM: Seorang pekerja ladang yang didakwa melupuskan bahan bukti pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu ‘membuat kejutan’ di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, apabila memberitahu dia mahu menukar peguam.

Suresh yang telah dihukum penjara selama tujuh tahun bagi kesalahan itu secara spontan berdiri dan mengangkat tangan kanannya pada pukul 4.05 petang, iaitu selepas pendengaran kes berjalan sejak pukul 11 pagi.

“Saya mahu tukar lawyer (peguam),” katanya dan peguamnya, M. Puravelan juga dilihat tidak menjangkakan perkara tersebut akan berlaku.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki yang pada awalnya kelihatan agak keberatan untuk membenarkan permohonan tersebut kerana pendengaran kes telah berjalan selama dua hari termasuk Isnin, bagaimanapun menyoal Suresh jika dia telah melantik peguam baru.

“Saya tidak boleh mengatakan tidak pada permohonan tersebut. Ia merupakan hak kamu untuk berbuat demikian,” kata Mohtarudin yang sedang mendengar rayuan yang difailkan oleh rakan sekerja Suresh, K. Sarawanan.

Suresh memberitahu, dia mahu melantik peguam kepada Sarawanan, iaitu A. S. Dhaliwal, dan menurutnya, ibunya telah berjumpa dengan Dhaliwal pada minggu lepas untuk menyatakan hasrat melantik peguam itu.

Dhaliwal kemudiannya menjelaskan “Ibu Suresh ada berjumpa saya di pejabat. Dia mendapat alamat berdasarkan kad perniagaan saya, bagaimanapun tiada apa-apa kata muktamad dicapai.”

“Saya tidak mempunyai masalah untuk mewakili Suresh memandangkan dia membuat permohonan tersebut di mahkamah terbuka. Bagaimanapun, saya mohon diberikan masa lima minit untuk bercakap dengan Suresh,” tambahnya.

Puravelan pula memberitahu, beliau menerima keputusan yang dibuat oleh Suresh dan keluar meninggalkan mahkamah selepas beberapa minit.

Justeru itu, Mohtarudin menetapkan agar pendengaran kes disambung semula pada 9 Februari ini bagi memberi masa kepada Dhaliwal untuk mendapatkan arahan lanjut daripada Suresh.

Pada 15 Oktober lalu, Suresh, 27, dan Sarawanan, 20, masing-masing dihukum penjara selama tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Majistret Telok Datok, Banting, dekat sini, Hurman Hussein selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut.

Sarawanan didakwa membakar mayat semua mangsa sementara Suresh didakwa membuang abu mayat ke dalam Sungai Panchau, Banting, dekat sini.

Kesemua mangsa dilaporkan hilang pada 30 Ogos 2010 selepas dikatakan menuju ke Banting untuk berjumpa seorang peguam bagi berbincang mengenai urusan jual beli tanah.

Peguam, N. Patmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang T. Thiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 31, telah dituduh di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh kesemua mangsa.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang Sepat, Banting antara puku 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Mereka kini berhadapan dengan hukuman mati mandatori, jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Lain