suria

Kes Royalti Anuar Zain Didengar 17 Februari

KUALA LUMPUR: Kes tafsiran penjualan dan pengiraan royalti penyanyi popular, Anuar Zain akan disambung pada 17 Februari ini di Mahkamah Tinggi di sini bagi membolehkan saksi daripada syarikat rakaman Synchrosound Records Label Music Sdn Bhd memberi keterangan.

Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Nadzia Abdul Aziz menetapkan tarikh tersebut pada prosiding dalam kamar yang diadakan pada Isnin.

Terdahulu, Nurul Nadzia mendengar keterangan daripada penyanyi yang terkenal dengan lagu Perpisahan itu dan juga pengurus kanan Universal Music (M) Sdn Bhd yang mengedarkan album tersebut, iaitu Loan Cheong.

Anuar yang merupakan adik kepada penyanyi Ziana Zain memberitahu, dia menjawab beberapa soalan secara berasingan daripada Loan yang mengesahkan penjualan albumnya.

Pada prosiding itu, Anuar diwakili peguam Aizul Rohan Anuar manakala Synchrosound diwakili peguam Max Yong.

Anuar yang pernah berlakon dalam filem Bintang Hati berjaya dalam tuntutan saman balasnya bagi menuntut bayaran royalti daripada Synchrosound yang akan ditafsirkan.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Prasad Sandosham Abraham yang turut memerintahkan supaya Synchrosound membayar kos dan faedah lapan peratus ke atas jumlah royalti setahun bermula Jun 2006 kepada Anuar.

Terlebih dahulu, Synchrosound memfailkan saman terhadap Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 40, pada 21 April 2006, menuntut ganti rugi atas dakwaan melanggar perjanjian kontrak rakaman.

Berdasarkan penyataan tuntutan syarikat tersebut, mereka mendakwa kontrak rakaman bermula daripada 23 Februari 2001 hingga 22 Februari 2005 dengan perjanjian Anuar merakamkan satu album setahun mengandungi lagu piihan syarikat.

Syarikat itu mendakwa, Anuar sepatutnya merakamkan empat buah album untuk keseluruhan perjanjian, dan seterusnya mendakwa penyanyi tersebut hanya merakamkan satu album pada 2001 dan enggan serta gagal merakamkan sebarang album mengandungi lagu yang dipilih syarikat walaupun diminta berbuat demikian.

Synchrosound juga mendakwa pada 11 September 2004, Anuar menulis surat untuk membatalkan perjanjian berkenaan tanpa alasan.

Anuar memfailkan tuntutan balas dan pernyataan pembelaannya pada 20 Jun 2006 menafikan terdapat peruntukan dalam perjanjian berkenaan supaya dia merakamkan satu album setahun bermula 2001.

Pemenang Artis Lelaki Terbaik Anugerah Planet Muzik 2008 itu kemudiannya membuat tuntutan balas terhadap Syncrosound yang difailkan pada 20 Jun 2006 dan mendakwa dia menyerahkan notis penamatan kontrak pada 11 September 2004 untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham perjanjian antara dia dengan Syncrosound .

Artikel Lain