suria

Bapa Gesa Mayat Yagneswaran Dibawa Pulang Segera

KLANG: Bapa pelajar perubatan Malaysia S. Yagneswaran, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Padang, Sumatera Barat Jumaat, meminta kedutaan Malaysia di Indonesia mempercepatkan proses membawa pulang mayat anaknya ke tanah air.

R.Subramaniam, 64, yang terkejut dengan kematian anak lelakinya itu, berkata dia akan ke Padang petang ini bersama presiden Persatuan Agensi Penempatan Pelajar Malaysia (MASPA) Dr Margali Palaney untuk menuntut mayat pelajar berkenaan bagi urusan pembakaran di sini.

"Saya amat berterima kasih sekiranya kedutaan Malaysia di Indonesia dan kerajaan Malaysia menguruskan penerbangan khas dari Padang ke Kuala Lumpur untuk membawa pulang mayat anak saya selewat-lewatnya Ahad ini," katanya.

Yagneswaran, 24, pelajar Universiti Andalas Padang, meninggal dunia petang Jumaat apabila motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah motosikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumah daripada menjalani latihan amali di sebuah hospital.

Mayat pelajar berkenaan, yang mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala, kini ditempatkan di Hospital M. Djamil di Padang.

Pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam ini dijadualkan selesai mengikuti pengajian pada April 2012.

Subramaniam berkata dia memberi kebenaran kepada doktor di Hospital Besar Padang untuk menderma organ anaknya itu kepada sesiapa yang memerlukannya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay berkata pegawai Konsulat Malaysia di Pekan Baru dekat Padang sedang dalam perjalanan ke Padang untuk membantu bapa Yagneswaran.

Beliau berkata terdapat dua pilihan yang ada untuk membawa pulang mayat pelajar itu iaitu menggunakan perkhidmatan penerbangan dari Padang ke Jakarta dan kemudiannya ke Kuala Lumpur atau melalui jalan darat dari Padang ke Medan dan kemudiannya menaiki penerbangan terus ke Kuala Lumpur.

"Pegawai konsulat akan berbincang dengan bapa Yagneswaran mengenai pilihannya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain