suria

RM2 Bilion Diperlukan Bagi Memulihkan Kawasan Mudah Dilanda Banjir

JITRA: Kos bagi membina tebatan dan memulihkan kawasan yang mudah dilanda banjir di Kedah mencecah RM2 bilion, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharom.

Menurut Mohd johari anggaran jumlah itu berdasarkan kajian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang telah siap.

"Draf cadangan fasa pertama projek ini bagi kawasan Kedah Utara yang menelan kos RM500 juta telah diserahkan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, dijadualkan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh dan hanya perlu menunggu kelulusan kabinet," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah berkata kawasan Kedah Utara adalah yang paling teruk terjejas oleh banjir November tahun lepas dan merosakkan lebih 30,000 hektar sawah dalam kawasan MADA sahaja.

"Sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan segera mengatasi masalah banjir, petani boleh kerugian kira-kira RM250 juta bagi kawasan seluas 30,000 hektar sekiranya dilanda bencana banjir," tambahnya.

Sementara itu, katanya bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan banjir, Johari berkata semua rekabentuk projek yang dilaksanakan di kawasan pertanian boleh diubahsuai mengikut kehendak alam semulajadi.

Katanya tindakan itu bertujuan melindungi kesejahteraan dan kepentingan orang ramai.

"Kementerian Pengangkutan, MADA, Jabatan Kerja Raya, agensi-agensi berkaitan, syarikat-syarikat pelaksana projek termasuk keretapi berkembar dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) mengadakan mesyuarat berjadual bagi membincangkan kesan projek yang dilaksanakan.

"Melalui mesyuarat ini kajian semula dibuat terhadap rekabentuk projek dan direkbentuk semula mengikut kehendak alam semulajadi," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kepada enam buah sekolah yang terlibat banjir dan penyerahan kotak makanan kepada peserta e-Kasih Parlimen Kubang Pasu di sini, pada Sabtu.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Wan Kemara, SMK Jitra, SK Kepala Batas, SK Seri Banai, SK Telok Malek dan SK Hakim Teh.

LLM dan semua syarikat konsesi lebih raya tol menyumbang sejumlah RM8,000 kepada sekolah-sekolah terbabit manakala kotak makanan disumbangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah.

Majlis itu yang berlangsung di Rumah Sinar Harapan turut dihadiri Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir Ismail Salleh, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)

Jitra, Datuk Saad Man dan ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar serta Pengarah JKM Kedah, Zulkifli Ramli. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain