suria

Suspek Kes Bunuh Pelajar Direman Tujuh Hari

KOTA SAMARAHAN: Suspek kes bunuh seorang pelajar di Sadong Jaya ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini untuk membantu siasatan, kata Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Abdul Rahman Ahmad.

Beliau berkata perintah tahanan reman ke atas suspek berumur 19 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini.

"Setakat ini hanya seorang suspek yang kita tahan dan telahpun mendapat perintah tahanan reman sehingga 24 Jan ini oleh Mahkamah Majistret Samarahan bermula hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Taufik Abdul Rahim, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semera ditemui mati dan ditanam dalam lubang sedalam setengah meter di belakang rumah suspek di Kampung Sadong Jaya di sini.

Mangsa yang berasal dari Kampung Iboi, Sadong Jaya dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak Sabtu lalu dan penahanan suspek telah membawa kepada penemuan mayat pelajar itu pada pukul 10 pagi semalam.

Siasatan awal polis mendapati kes bunuh itu dipercayai ada kaitan dengan sindiket curi motosikal dan pecah rumah. -BERNAMA

Artikel Lain