suria

Mustapa Minta SPRM Siasat Harga Lot Kedai Melabung Di Bazar Tok Guru

KOTA BAHARU: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan peniaga bahawa harga lot kedai di Bazar Tok Guru, di sini dijual dengan harga yang tinggi.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata ramai peniaga mengadu kepada pihaknya mengenai kenaikan harga lot kedai di situ yang sebelum ini dijanjikan kerajaan negeri PAS akan dijual pada harga RM40,000 tetapi kini dijual pada dua kali ganda.

"Saya minta agar SPRM menyiasat dakwaan 415 peniaga ini kenapa harganya boleh naik begitu tinggi sedangkan mereka ini bukanlah golongan berpendapatan tinggi dan mereka telah mengadu kepada saya.

"Adakah kemungkinan berlaku penyelewengan dalam kerajaan negeri PAS sehingga harganya meningkat. Malahan mereka mendakwa lot kedai itu sempit," katanya semasa berucap pada perhimpunan barisan hadapan Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Baharu, di sini, Ahad.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Besar Lama Arked Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) Ab. Salim Ahmad mendesak Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) memenuhi janji Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada 415 ahli persatuan itu agar harga jualan lot premis di Bazar Tok Guru dikekalkan pada RM40,000.

Ab. Salim berkata harga yang dijual pihak pemaju bagi tingkat nilai lot kedai kini adalah RM80,000 sehingga RM90,000.

Bazar Tok Guru merupakan sebuah kompleks perniagaan yang dirancang di atas tapak lama Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu membabitkan kawasan tanah seluas kira-kira dua hektar.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain