suria

Tiga Termasuk Dua Pelajar Maut Dalam Kemalangan Berasingan Di Perak

IPOH: Tiga termasuk dua pelajar terbunuh dalam tiga kemalangan yang berlaku di sekitar Perak malam Selasa.

Ketua Polis Trafik negeri Supt Wan Abdullah Ishak berkata kejadian pertama berlaku pukul 9.55 malam di Km 13 Jalan Ulu Kenas-Kuala Kangsar membabitkan pertembungan dua buah motosikal yang ditunggang dua pelajar.

Dalam kejadian itu Ahmad Khairani Ahmad Daud, 15, terbunuh, manakala seorang lagi penunggang yang hanya dikenali sebagai Aidil, 17, cedera, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini pada Rabu.

Beliau berkata Ahmad Khairani yang juga pelajar Sekolah Menengah Raja Muda Musa meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar kerana kecederaan parah di kepala akibat tidak memakai topi keledar.

Kemalangan kedua berlaku pukul 10.30 malam di Jalan Kampung Gudang Jelai-Batu Kurau, melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta, katanya.

Dalam kejadian itu penunggang motosikal, Ahmad Amirul Al-Hafiz Ahmad Zaman Akman, 16, maut apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Sementara itu, satu lagi kemalangan membabitkan kes langgar lari yang mengakibatkan seorang pemuda R. Baskeran, 23, maut.

Wan Abdullah berkata pemuda dari Taman Jati itu cedera parah di kepala selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Jelapang-Chmeur.

Polis kini mengesan pemandu kereta tersebut yang melarikan diri dari tempat kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungo Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain