suria

Gerak Gempur Cetak Rompak Di Sarawak Sita Bahan Bernilai RM1.2 Juta

KUCHING: Kempen 'Gerak Gempur Cetak Rompak' yang dijalankan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak tahun ini berjaya merampas bahan bernilai kira-kira RM1.2 juta.

Pengarahnya Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata bahan berkenaan membabitkan perisian komputer, video cakera padat (VCD), cakera video digital (DVD) dan cakera padat (CD).

"Kesemuanya melibatkan 62 kes di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan 146 kes mengikut Akta Perihal Dagangan 1972," katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

Beliau berkata objektif utama kempen adalah 'membersihkan' kompleks membeli-belah dan kawasan komersial daripada aktiviti penjualan bahan cetak rompak, menghentikan aktiviti muat turun bahan cetak rompak dan menghukum mereka yang terlibat.

Katanya aktiviti cetak rompak masih giat berlaku di bandar-bandar utama di negeri itu seperti Kuching, Miri dan Limbang.

Ahmad turut mendedahkan tindakan kebanyakan penjual bahan cetak rompak yang menampal label hologram KPDNKK palsu pada barangan untuk memperdaya pengguna.

Beliau berkata mengikut Akta Perihal Dagangan 1972, individu yang didapati memalsukan label hologram KPDNKK boleh dikenakan denda RM100,000 dan tiga tahun penjara manakala untuk syarikat RM250,000 untuk setiap siri dan cerita produk yang dirampas.

Katanya untuk kesalahan di bawah Akta Hakcipta 1987, mereka yang terbabit iaitu membuat, menjual, mengedar untuk tujuan perdagangan dan memiliki termasuk untuk kegunaan sendiri boleh dikenakan denda antara RM2,000 dan RM20,000. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain