suria

Peniaga Pasar Malam Bebas Tuduhan Bunuh Isteri

SHAH ALAM:Selepas dua tahun berada di balik tembok penjara, seorang peniaga pasar malam akhirnya dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh isterinya yang disahkan mati kerana membunuh diri.

Darman Iman Maharajo, 50, meraikan pembebasannya pada Isnin, dengan berjalan kaki menuju ke arah kantin mahkamah untuk bersarapan bersama peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk menimbulkan prima facie untuk memanggil tertuduh membela diri terhadap pertuduhan.

Asmabi berkata, tiada keterangan langsung yang dapat menunjukkan bahawa Darman, yang berasal dari Indonesia dan berstatus penduduk tetap negara ini telah melakukan kesalahan yang dipertuduhkan, sebaliknya pihak pendakwaan hanya bergantung kepada bukti ikut keadaan.

Selain itu, Asmabi juga menerima keterangan ahli forensik yang mengesahkan bahawa mangsa, Roslely Mohd Kamar, 41, yang merupakan perunding produk kesihatan telah membunuh diri dengan menjerut lehernya pada kipas siling.

Darman sebelum ini dibicarakan atas tuduhan membunuh Roslely antara pukul 11.30 pagi dan 3.52 petang, 2 April 2008 di Jalan SM4 Sunway, Batu Caves, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. Sejak itu, dia ditahan reman kerana kesalahan itu tidak membenarkan jaminan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhairy Zakaria.

Keterangan pada perbicaraan menyatakan Darman merupakan orang terakhir yang bersama mangsa pada hari kejadian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain