suria

Remaja Lelaki Lemas Di Kolam Renang, Sepupu Perempuan Kritikal

KUCHING: Keriangan seorang remaja lelaki yang bercuti bersama keluarga sepupunya, bertukar tragedi apabila beliau lemas ketika mandi di kolam renang sebuah pusat peranginan di Santubong dekat sini, manakala sepupu perempuannya itu kini kritikal selepas cuba menyelamatkannya.

Mohd Nazrul Rosli, 16, dari Kampung Tupong di sini, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala Siti Nur Farah Ain, 14, dari Semariang Baru, masih tidak sedarkan diri.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi tadi, mangsa dipercayai lemas ketika mandi di bahagian kolam renang yang lebih dalam, dan Siti Nur Farah Ain cuba menyelamatkannya, namun gagal.

Mereka kemudian diselamatkan anggota penyelamat pusat peranginan itu dan diberikan bantuan pernafasan sebelum dikejarkan ke HUS.

Timbalan Ketua Polis Daerah Supt Pauzi Bujang ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata polis masih menunggu keputusan bedah siasat.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain