suria

PBTM Lancar Pasukan Penggerak Daftar Anggota Sebagai Pemilih Ahad

MACHANG: Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) akan melancarkan penubuhan sebuah pasukan penggerak, Ahad, yang berperanan memastikan lebih 30,000 orang anggotanya yang masih belum mendaftar sebagai pemilih, supaya segera berbuat demikian.

Presidennya Datuk Mohamad Abdul Ghani berkata pasukan penggerak itu juga akan memastikan bahawa anak-anak dan isteri anggota ini yang layak, untuk mendaftar sebagai pemilih.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan bahawa setiap kawasan Dewan Undangan Negeri mempunyai dua anggota pasukan penggerak itu, yang berperanan mengesan bekas tentera dan keluarga yang belum mendaftar sebagai pemilih.

Menurutnya daripada 74,205 bekas anggota tentera yang disemak pihaknya, ketika ini hanya 40,355 orang sahaja yang sudah mendaftar sebagai pemilih dan gerakan mengesan pesara yang belum berbuat demikian sedang diusahakan.

"Ini yang berpencen, bilangan mereka yang bersara sebelum pencen lebih ramai lagi, dan golongan itu akan kami cari kerana ramai di kalangan mereka tidak mendaftar sebagai pemilih," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, Sabtu.

Mohamad berkata peruntukan khas PBTM akan disalurkan bagi tujuan membayar elaun anggota pasukan penggerak itu, dan beliau berharap usaha itu akan mendapat kerjasama semua pihak termasuk pesara tentera.-BERNAMA

Artikel Lain